POLIS SAHKAN BERITA SERANGAN TERHADAP WANNDY

Polis Malaysia dilaporkan telah mengesahkan khabar angin serangan terhadap rakyat Malaysia yang menjadi ketua kumpulan militan IS di Syria, Muhammad Wanndy Mohamed Jedi.

Akhbar harian Bahasa Inggeris The Malay Mail, memetik Pengarah Cawangan Khas Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun sebagai berkata polis Malaysia bekerjasama dengan pasukan antarabangsa untuk memburu lelaki berkenaan.

“Terdapat serangan ke atas beliau (Wanndy) menggunakan pesawat di Syria dan kami cuba untuk mengesahkan keadaannya,” kata Mohamad Fuzi.

Beliau berkata, polis juga sedang mengesahkan ketulenan posting Facebook oleh isteri Muhammad Wandy, Nor Mahmudah Ahmad, 28, yang menyebarkan berita tentang kematian suaminya.

“Jangan bimbang, kita mempunyai kemampuan kita untuk memeriksa perkara ini,” kata Fuzi berhubung spekulasi bahawa posting itu sebagai umpan yang dirancang Wanndy yang kini berada dalam senarai pengganas antarabangsa oleh Amerika Syarikat.

Menurut The Malay Mail, Wanndy, yang juga memakai nama Abu Hamzah Al-Fateh merupakan antara militan IS yang terbunuh dalam serangan di Ma’dan.

Wanndy berasal dari Durian Tunggal, Melaka dan Nor Mahmudah dari Prai, Pulau Pinang mempunyai dua orang anak perempuan yang dilahirkan di Syria.

Beliau juga dikenal pasti sebagai perekrut IS dan baru-baru ini dikaitkan dengan Siti Noor Aishah Atam yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012.
Dilaporkan Siti Noor Aishah didakwa berikrar taat setia kepada pemimpin IS, Abu Bakr Al-Baghdadi melalui aplikasi mesej Telegram, dengan Wanndy bertindak sebagai saksinya.

– M’kini

.