POLIS PEROLEHI NOTIS MERAH INTERPOL TAHAN EMPAT SUSPEK

Polis berjaya memperolehi notis merah daripada Pertubuhan Polis Antarabangsa (Interpol) ke atas empat suspek Korea Utara yang dipercayai adalah dalang di sebalik pembunuhan Kim Jong-nam.

“Saya ingin memaklumkan bahawa kami telah mendapat notis merah (dari) Interpol ke atas empat warga Korea Utara yang berada di lapangan terbang pada hari kejadian itu yang kemudiannya melarikan diri dan dipercaya kini berada di Pyongyang.

“Kami telah mendapat notis merah terhadap mereka dan berharap akan dapat menangkap mereka melalui Interpol,” kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar kepada pemberita di Putrajaya, hari ini

Notis merah Interpol bertindak sebagai waran tangkap terhadap suspek yang dikehendaki bagi tujuan ekstradisi.

Keempat-empat suspek berkenaan meninggalkan Malaysia selepas Jong-nam diracun.

Selain daripada empat itu, polis berkata, dua lagi suspek – setiausaha kedua, kedutaan Korea Utara, Hyon Kwang-song dan seorang kakitangan syarikat penerbangan Air Koryo, Kim Uk-il, sedang bersembunyi di kedutaan di Kuala Lumpur.
Jong-nam, yang memasuki negara ini menggunakan pasport atas nama Kim Chol, meninggal dunia selepas mukanya dilumur dengan agen saraf VX sementara menunggu untuk menaiki penerbangan ke Macau di KLIA2 pada 13 Februari lalu.

Dua wanita asing – seorang warga Indonesia dan Vietnam – didakwa dengan pembunuhan itu di Mahkamah Majistret Sepang pada 1 Mac lalu.

– M’kini

.