POLIS PANTAU SITUASI ZAKIR NAIK, KATA KPN

POLIS sedang memantau penceramah agama kontroversi Dr Zakir Naik, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun susulan permohonan rasmi ekstradisi daripada kerajaan India yang dijangka akan diserahkan kepada Malaysia tidak lama lagi.

Katanya, polis juga tahu keberadaan beliau di negara ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya penceramah itu melanggar undang-undang.

“Buat masa ini kita masih belum menerima permintaaan rasmi untuk mengekstradisinya namun kita sedang memantau situasi beliau.

“Secara kasarnya kita tahu (di mana beliau) kerana beliau merupakan personaliti yang menarik perhatian ramai,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke pusat latihan Unit Tindakan Khas di Cheras hari ini.

Beliau juga berkata Zakir tidak melanggar undang-undang, dan tidak melakukan apa-apa jenayah di Malaysia. Beliau turut mengulangi penafiannya bahawa Dr Zakir menghantar permohonan untuk mendapatkan kewarganegaraan Malaysia.

Dr Zakir Naik, 52 tahun diselubungi kontroversi selepas cadangannya untuk mengenakan hukuman mati kepada homoseksual dan mereka yang meninggalkan Islam, menurut laporan media.

Beliau juga dikatakan dihalang daripada memasuki UK.

Agensi anti pengganas India melakukan persediaan untuk mendakwa Zakir atas tuduhan “menganjurkan kebencian dan permusuhan antara kumpulan agama di India melalui pengucapan awam dan ceramah.”

– https://www.themalaysianinsight.com

.