Polis Nafi Viral UFO Berlegar Di Kuala Krai

KOTA BARU – Polis pada Khamis menafikan kononnya terdapat objek terbang yang tidak dikenali (UFO) berlegar-legar di ruang angkasa Kuala Krai sepertimana diviralkan menerusi media sosial.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai Supt Abdullah Roning berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan daripada penduduk kawasan berkenaan berhubung kejadian tersebut.

“Video itu disebarkan oleh pihak tertentu tanpa mengetahui sebabnya,” kata beliau ketika dihubungi di sini, malam Khamis.

Selain penyebaran video berdurasi 1 minit 25 saat menerusi media sosial itu, ia turut mengaitkan maklumat itu kononnya daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), dengan meletakkan perkataan “BERNAMA”.
Berita yang diviralkan itu menyebut: “Penduduk Kuala Krai Kelantan dikejutkan dengan objek dipercayai U.F.O. berlegar-legar di ruang angkasa berhampiran pusat cembong batu nang.

“Kejadian disaksikan dengan jelas oleh penduduk kampung selama beberapa minit sebelum objek tersebut hilang meninggalkan kawasan tersebut.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan ketika kejadian berlaku. BERNAMA” – BERNAMA

.