POLIS MAUT, SEORANG PARAH DALAM SERBUAN JAIS

Seorang anggota polis balai polis Bukit Jalil, di Kuala Lumpur, maut manakala seorang lagi parah selepas dipercayai cuba melarikan diri daripada diperiksa pegawai pencegah maksiat di dua lokasi berasingan awal pagi tadi.

Dalam kejadian pertama, pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu kediaman tingkat empat sebuah pangsapuri di Pandan Perdana, jam 3 pagi, lapor BH Online.

Bagaimanapun, sebaik memasuki tempat itu, pegawai JAIS menemui seorang wanita di dalam sebuah bilik dengan satu tingkap terbuka dengan seorang lelaki terbaring bawah pangsapuri berkenaan.

Hasil siasatan, wanita itu mengakui lelaki berkenaan kekasihnya yang terjun kerana bimbang ditangkap.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Ampang sebelum disahkan meninggal dunia jam 6.45 pagi, lapor harian itu lagi.
Dalam satu lagi pemeriksaan, seorang anggota polis dilapor cedera selepas dipercayai terjun dari sebuah pangsapuri sewaktu pemeriksaan JAIS di Taman Puchong Perdana.

Identiti anggota polis berkenaan bagaimanapun belum diketahui dan keadaannya kini dilaporkan kritikal.

Pengarah JAIS Datuk Haris Kasim, mengesahkan kejadian berkenaan namun enggan mengulas sehingga siasatan sepenuhnya dijalankan.

– M’kini

.