POLIS DEDAH CCTV RAKAM PELAJAR AMBIL TELEFON GURU

Polis mengesahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sekolah yang diperoleh polis menunjukkan pelajar tingkatan dua yang membunuh diri tempoh hari, mencuri telefon bimbit gurunya.

Namun sumber polis yang memberitahu Berita Harian maklumat itu enggan mengulas lanjut kerana dikhuatiri boleh mengganggu siasatan.

Sebaliknya beliau mememinta semua pihak menunggu proses inkues yang akan dijalankan.

Difahamkan, guru di sekolah berdekatan Nibong Tebal itu, sebelum ini sudah mengetahui perkara berkenaan selepas melihat rakaman CCTV sekolah dan bertanyakan kepada pelajar berkenaan yang enggan mengakuinya.

Polis juga sebelum ini sudah menyiapkan tiga kertas siasatan berhubung kes itu dan menyerahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

Bagaimanapun, kertas siasatan terbabit dipulangkan kepada polis untuk ditambah keterangan beberapa saksi.

Pelajar tingkatan dua itu sebelum ini dimaklumakan telah dipanggil oleh empat guru untuk bertanyakan perbuatannya mengambil iPhone milik seorang daripada guru berkenaan.

Bagaimanapun dia tidak mengaku melakukan kesalahan tersebut sebelum mengambil tindakan menggantung diri di rumahnya pada 24 Januari lalu. Pelajar itu meninggal dunia pada usia 13 tahun pada 1 Februari lalu.

– M’kini