POLIS AKAN SOAL SIASAT DR MAHATHIR BERHUBUNG KENYATAAN BUGIS

POLIS membuka dua kertas siasatan terhadap Dr Mahathir Mohamad berhubung dakwaan menghina terhadap komuniti Bugis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat berkata dua kertas siasatan telah dibuka terhadap Dr Mahathir selepas pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu didakwa menghina komuniti Bugis dalam dua ucapan yang dibuatnya di Selangor.

Peristiwa terbaru berlaku pada 14 Oktober di perhimpunan anti kleptokrasi di Padang Timur, Petaling Jaya.

“Saya boleh mengesahkan yang kami sedang menyiasat Dr Mahathir berhubung kenyataannya mengenai Bugis. Kami akan mengambil kenyataannya tidak lama lagi,” kata Fadzil kepada The Malaysian Insight.

Menurut Fadzil, kertas siasatan dibuka walaupun sebelum kenyataan dikeluarkan oleh Dewan Diraja Selangor yang menggesa polis untuk menyiasat bekas perdana menteri itu.

Dewan Diraja Selangor menggesa pihak polis menyiasat Dr Mahathir kerana didakwa mencetuskan kebencian terhadap keturunan Bugis.

Dalam satu kenyataan lima hari lalu, Setiausaha Dewan Diraja Selangor, Hanafisah Jais berkata Dr Mahathir dilihat seolah-olah menghasut rakyat Malaysia untuk membenci, merendahkan dan melihat masyarakat Bugis dengan penghinaan.

Dr Mahathir didakwa membuat kenyataan sedemikian semasa berucapan di perhimpunan “Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” di Petaling Jaya pada 14 Oktober, kata Hanafisah.

“Ahli-ahli Dewan Diraja Selangor menganggap ucapan berkenaan (oleh Dr Mahathir) amatlah keterlaluan dan boleh mencetuskan perasaan benci dan prasangka buruk rakyat terhadap bangsa Bugis sehingga boleh mencetuskan kekecohan dan huru-hara,” kata kenyataan itu.

Kenyataan bekas perdana menteri mengenai Bugis juga dikritik oleh beberapa anggota masyarakat, yang menuntut agar beliau memohon maaf.

Persatuan Bugis Indonesia menuntut Dr Mahathir meminta maaf atau ia akan mengadakan protes di luar kedutaan Malaysia di Jakarta.

Bugis adalah kumpulan etnik dari Sulawesi di Indonesia. Sebahagian besar masyarakat Islam di Malaysia berketurunan Bugis.

Semasa mengecam Perdana Menteri Najib Razak pada perhimpunan itu, Dr Mahathir didakwa mengatakan nenek moyang Najib adalah “lanun Bugis”.

Najib, sebelum ini pernah berbangga dengan keturunan Bugis keluarganya.

Dewan Diraja Selangor hari ini berkata klip video ucapan jelas menunjukkan Dr Mahathir menghina dan mengatakan bangsa Bugis berasal daripada golongan dengan lanun, penjenayah dan perompak.

Susulan itu, Dr Mahathir berkata:

“Bugis tak semua lanun. Raja kita pun ada keturunan Bugis juga. Saya tidak kata raja kita lanun, yang saya kata ialah Najib.”

Menerusi video di Facebook rasmi Bersatu baru-baru ini, bekas perdana menteri itu berkata jika ia memerlukannya masuk lokap kerana menentang Najib, beliau rela menerimanya.

“Sejak saya aktif melawan Najib, ramai orang berminat supaya saya diberi pakaian oren dengan perkataan lokap. Jadi, ini satu langkah lagi ke arah itu,” kata Dr Mahathir.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.