PMO, PROJEK MEGA PUNCA HUTANG KERAJAAN BERTAMBAH, KATA AHLI EKONOMI

PERBELANJAAN keterlaluan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang tidak disemak dan peruntukan dana pembangunan tidak seimbang menyebabkan hutang rasmi kerajaan hampir mencecah RM700 bilion, kata ahli ekonomi terkenal.

Bekas pembantu setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jomo Kwame Sundaram berkata terdapat keperluan mendesak bagi ketelusan dan akauntabiliti lebih baik dalam semakan jumlah perbelanjaan infrastruktur yang “off-budget”, iaitu peruntukan yang bukan sebahagian daripada belanjawan kerajaan persekutuan dan dengan itu tidak dapat dipertanggungjawabkan kepada Parlimen.

“Apa yang diperlukan oleh Malaysia sekarang adalah perbelanjaan pembangunan yang lebih sesuai, bukannya lebih banyak kepada perbelanjaan mengurus, terutamanya untuk Pejabat Perdana Menteri (PMO), yang berkembang lebih daripada sepuluh kali ganda dan pemusatan kuasa yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata Jomo kepada The Malaysian Insight dalam temu bual telefon baru-baru ini.

“Sementara itu, kebanyakan perbelanjaan infrastruktur bukanlah pada bajet persekutuan, yang sering melibatkan perkongsian awam-swasta yang meragukan, seterusnya mengurangkan ketelusan dan akauntabiliti, seperti tindakan tergesa-gesa memulakan projek ECRL (Rangkaian Rel Pantai Timur),” katanya.

Jomo mencadangkan peruntukan untuk PMO dikurangkan bagi menangani masalah hutang yang semakin meningkat.

PMO diperuntukkan RM17.43 bilion dalam Bajet 2018, hampir dua kali ganda peruntukan RM8.938 bilion untuk 2008.

Projek mega, termasuk ERCL, TRX (Tun Razak Exchange) dan Bandar Malaysia, juga perlu diteliti oleh jawatankuasa Parlimen bebas parti yang dipengerusikan oleh anggota parti pembangkang, kata Jomo.

Dalam kes ECRL sejauh 688km, sekiranya projek rel bernilai RM55 bilion – yang menjangkau hampir 8% hutang awam Malaysia – gagal menjana tahap jangkaan permintaan dan pulangan dari segi pelaburan, ia akan menyebabkan kerajaan mempunyai hutang yang besar dengan China

“ECLR tidak akan membayarnya sendiri. Sekarang, anggaran hutang kerajaan adalah besar dan ia berkembang dengan pesat. Apabila anda bercakap tentang hutang, anda perlu mempertimbangkan hutang rasmi serta hutang kerajaan yang dijamin.

“Dan kerana tiadanya akauntabiliti bagi hutang kerajaan yang dijamin, ada banyak ruang untuk sesuatu perkara yang tidak betul. Tidak ada laporan dan sebagainya.”

Jomo berkata terdapat juga keperluan untuk mencegah penyelewengan perkongsian awam-swasta, kerana “akhirnya adalah orang awam yang menanggung kos atau sebahagian besar risiko, sementara keuntungan biasanya diperoleh rakan kongsi swasta”.

Jomo, felo pelawat di Institut Penyelidikan Khazanah, menjadi pengkritik lantang terhadap perbelanjaan operasi kerajaan yang semakin meningkat, yang berkembang purata 6% setiap tahun sejak 10 tahun lalu.

Perbelanjaan operasi meningkat daripada RM123.10 bilion pada 2007 kepada RM219.91 bilion pada 2017, melebihi pendapatan Malaysia yang meningkat pada purata 4.9% setiap tahun sejak 2007, sedangkan pendapatan kekal RM139.9 bilion kepada RM225.34 bilion pada 2017.

Hutang persekutuan pada tempoh yang sama meningkat 10% setiap tahun daripada RM123 bilion pada 2007 kepada RM687.43 bilion pada September 2017.

Profesor Jomo Kwame Sundram berkata masalah jika projek ECRL gagal memberi pulangan seperti diharapkan, ia akan memberi bebanan hutang yang besar kepada negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Feruari, 2018.
Profesor Jomo Kwame Sundram berkata masalah jika projek ECRL gagal memberi pulangan seperti diharapkan, ia akan memberi bebanan hutang yang besar kepada negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Feruari, 2018.

Laporan baru-baru ini oleh The Edge Markets mendedahkan dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 10.7%, hutang Malaysia boleh mencecah RM1 trilion menjelang 2021 dengan perbelanjaan yang berlebihan.

Dengan unjuran yang sama, hutang Malaysia boleh mencapai RM2 trilion pada 2028 dan RM3 trilion pada 2032.

Dana dialih kepada hutang perkhidmatan

Jomo berkata hutang awam yang tinggi, jika dibiarkan tidak ditangani bagi jangka panjang, akan menyebabkan negara berisiko untuk gagal membayar hutang.

“Mengambil hutang untuk kegunaan produktif secara umumnya wajar. Bagaimanapun, kebanyakan hutang baru-baru ini tidak digunakan secara produktif.

“Kerajaan juga perlu membayar hutang atau mengurangkan hutang apabila ekonomi semakin berkembang dan menanggung hutang apabila terdapat kelembapan.

Bagaimanapun, dalam tempoh 10 tahun lalu atau lebih, kita baru saja mengambil lebih banyak hutang, walaupun kita mendakwa ekonomi berkembang baik, yang biasanya dilihat sebagai tidak bertanggungjawab secara fiskal, “katanya.

Jomo berkata membayar faedah bagi hutang yang tinggi mengalihkan dana dari sektor lain, yang akan memberi manfaat kepada rakyat, seperti penjagaan kesihatan atau pendidikan.

“Nampaknya apa berlaku di Malaysia, peruntukan untuk universiti awam dipotong lebih separuh dalam tempoh dua tahun lalu,” katanya.

Walaupun beliau mengakui keperluan perbelanjaan pembangunan untuk kemajuan ekonomi, Jomo berkata pembiayaan itu harus lebih tersasar dan “sesuai”.

“Ia seharusnya membiayai penyelidikan, sebagai contoh, bagi meningkatkan produktiviti kelapa sawit dengan meningkatkan hayat produktifnya hingga 90 tahun berbanding 25 tahun sekarang.”

“Kisah perindustrian Malaysia yang paling berjaya bukanlah elektronik, yang dikawal oleh syarikat asing tetapi minyak sawit, yang dikawal oleh Malaysia,” katanya.

– https://www.themalaysianinsight.com

.