PM WANITA MALAYSIA PERLU PENGETAHUAN LUAS, KATA SITI HASMAH

MALAYSIA mampu mempunyai perdana menteri wanita sekiranya mereka mempunyai pengetahuan yang sangat luas, kata isteri bekas perdana menteri, Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Semasa temubual eksklusif bersama The Malaysian Insight hari ini, Dr Siti Hasmah yang merupakan antara doktor wanita pertama di Malaya selepas menamatkan pengajiannya pada 1955, itu berkata, wanita perlu benar-benar layak dalam menyandang jawatan tersebut.

“Saya harap satu hari nanti kita akan ada (perdana menteri wanita). Tetapi para wanita perlu benar-benar layak (memegang jawatan itu). Kita mesti jadi sangat berpengetahuan.

“Kita perlu banyak membaca. Bukan sahaja tentang bagaimana mahu menjadi pemimpin tetapi belajar dengan pemimpin-pemimpin yang lain mengenainya… autobiografi. Apa yang mereka lakukan untuk negara mereka dan bagaimana mereka berjaya,” katanya.

Isteri bekas perdana menteri yang paling lama berkhidmat itu juga berkata walaupun jumlah golongan wanita di universiti adalah 75%, tetapi mereka perlu benar-benar melayakkan diri mereka menyandang jawatan penting tersebut.

Ini termasuk, mereka bukan sahaja perlu berpelajaran tetapi juga bijak bergaul dengan orang ramai daripada pelbagai latar belakang dan bangsa.

“Dia juga mesti tenang dan jangan cepat melenting. Jangan marah dengan kritikan. Dia perlu jaga imejnya dan anggap semuanya okay,” kata beliau.

Thailand, Indonesia dan Filipina merupakan antara negara jiran yang pernah mempunyai perdana menteri dan presiden wanita.

Malaysia kini mempunyai enam perdana menteri dan kenam-enamnya dipimpin oleh kaum lelaki.

–¬†https://www.themalaysianinsight.com

.