PM tak suka panggilan ‘keling’

Datuk Seri Najib Razak menasihati masyarakat di negara ini menghormati satu sama lain serta tidak memanggil kaum India sebagai pendatang dan ‘keling’.

Menurut perdana menteri sikap itu merupakan asas yang mesti dilaksanakan bagi menjamin keharmonian antara kaum di negara ini.

Kata Najib lagi, dasar hormat menghormati antara satu sama lain juga penting bagi membawa perubahan di negara ini lebih-lebih lagi apabila rakyat kini bosan dengan politik yang dibawa pembangkang.

“Kita kena amalkan dasar saling hormat menghormati antara satu sama lain.

“Kita jangan panggil India ini kaum pendatang, jangan panggil kaum India keling. Saya tak suka, jangan.

“Kita hormat menghormati antara satu sama lain. Itu asas kita. Hari ini saya percaya kalau kita boleh bersatu, kita boleh membawa perubahan sebenar kepada Malaysia sebab rakyat dah bosan dengan politik pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-70 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini.

Selain itu, Najib yang juga merupakan pengerusi BN berharap Subramaniam dapat menyatupadukan kaum India di negara ini.

Turut disentuh perdana menteri, harapannya supaya segala masalah dalaman melanda MIC dapat diatasi segera menjelang pilihan raya umum akan datang.

Ini kerana katanya negara ini berjaya hingga kini ekoran BN mengamalkan konsep perkongsian kuasa serta politik inklusif yang menyatupadukan semua kaum.

“Kalau MIC nak jadi payung kepada komuniti kaum India dalam negara maka MIC mesti menjadi parti yang mengamalkan inklusif. Maknanya boleh menyatupadukan semua orang di bawah MIC.

“Kita runding dengan mereka, runding, duduk dan berbincang. Kalau tak boleh bergabung untuk duduk di bawah satu bumbung sekurang-kurangnya adakan kolaborasi strategik yang bererti apabila pilihan raya umum, mereka sokong calon BN.

“Saya mahu melihat MIC yang kuat dan MIC boleh jadi kuat ialah dengan bersatu dan amal dasar inklusif untuk rangkum kaum India di Malaysia di bawah satu bumbung. Barulah kita kuat dan nak minta macam-macam pun boleh,” kata Najib yang turut mencadangkan agar MIC berunding dengan NGO Makkal Sakti.

– M’kini

.