PM presiden FAM? Zaman Tunku bolehlah…

Seseorang presiden FAM mestilah individu yang boleh memberi sepenuh perhatian terhadap kerja-kerja pembangunan bola sepak, kata Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia, B Sathianathan.

Justeru bekas pengendali skuad kebangsaan itu menolak cadangan supaya jawatan nombor satu FAM itu diisi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Bola sepak zaman sekarang bergerak dengan pantas, seperti internet. Perdana menteri sudah terlalu sibuk kerana ada banyak komitmen dengan urusan negara, ekonomi dan politik.

“Kalau zaman Tunku Abdul Rahman dulu bolehlah,” katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Semalam portal ini melaporkan bekas naib presiden FAM, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar mencadangkan Najib diangkat sebagai presiden FAM.

Pada pandangan Raja Ahmad Zainuddin tokoh yang sesuai menduduki jawatan di kerusi panas itu perlulah berpengaruh.

Malah katanya perdana menteri terdahulu pernah melakukannya. Selain Tunku Abdul Rahman, bapa Najib, Tun Abdul Razak juga pernah dilantik sebagai presiden FAM.

Sathianathan berpendapat, kerja-kerja dalam pembangunan bola sepak kini memerlukan komitmen tinggi dan ia hanya dapat dilakukan oleh seseorang presiden yang dapat memberi fokus maksimum.

Katanya, banyak keputusan melibatkan badan induk bola sepak negara perlu dilakukan dengan pantas, melalui mesyuarat padat dan seorang presiden perlu menghadirinya.

“Bolehkah perdana menteri buat kerja (sebagai presiden FAM)? Saya lebih rela kalau dia seorang yang boleh beri fokus penuh, tapi orang politik memang agak susahlah.

“Bola sepak sekarang, banyak hal kena buat keputusan dengan segera. Kalau kita tertungu-tunggu untuk mesyuarat, untuk perdana menteri ada masa hadiri mesyuarat, lepas itu buat keputusan ambil masa dua tiga bulan.. habislah,” jelasnya.

Tambah Sathianathan di negara maju bola sepak diuruskan seorang presiden yang memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tanggungjawab dalam sukan itu.

“Bola sepak sekarang mempunyai banyak peringkat, seorang presiden mestilah orang yang sentiasa ada di pejabat dan beri tumpuan sepenuhnya untuk buat pelbagai keputusan termasuk di peringkat antarabangsa.

“Saya tak nampak macam mana seorang yang sibuk seperti perdana menteri boleh jadi presiden FAM. Kita tak mahu orang jadi presiden dan biarkan tugasnya kepada orang lain,” katanya.

Kerusi presiden FAM akan dikosongkan Tengku Mahkota Pahang pada pertengahan tahun depan apabila persatuan itu mengadakan pemilihan.

Sering dikecam ramai kerusi tertinggi FAM kini menjadi perhatian kerana belum ada mana-mana tokoh yang dilihat sesuai atau benar-benar menawarkan diri mendudukinya.

Terdahulu, beberapa nama disebut-sebut untuk jawatan itu, termasuk Tengku Mahkota Johor Tengku Ismail Sultan Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes dan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa.

MKINI

.