PM PAKATAN BOLEH CETUS KRISIS’

Baru-baru ini, dilaporkan bahawa semasa permukiman Pakatan Harapan (PH) pada 1 dan 2 Disember di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, calon-calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri bagi gabungan itu untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) telah dinamakan ― masing-masing, pengerusi PH merangkap pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad dan presiden Pakatan Harapan merangkap presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

Menurut laporan media, “pencalonan” ini dikatakan telah dipersetujui oleh PPBM, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP, manakala PKR tidak menyatakan persetujuan mereka dan ingin menangguhkan perkara ini supaya dibincangkan dalam biro politik sendiri.

Walau bagaimanapun, beberapa orang pemimpin PH dilaporkan berkata bahawa perkara ini perlu direstui oleh ketua umum Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini sedang dipenjarakan.

Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa perdana menteri (yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong) hendaklah seorang ahli Dewan Rakyat yang, pada hemat Yang di-Pertuan Agong, mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat. Perlembagaan Persekutuan tidak mempunyai sebarang peruntukan yang menyebut tentang jawatan timbalan perdana menteri.

Kami di badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) ingin menyuarakan kebimbangan dengan tindakan yang menamakan calon perdana menteri “peralihan” atau interim sebelum keputusan PRU-14 diketahui kerana tindakan ini mungkin akan menimbulkan suatu krisis legitimasi (legitimacy crisis) bagi perdana menteri baru itu serta kerajaan pimpinannya, jika PH memenangi PRU-14 nanti.

Sebaliknya, kami berpendapat bahawa pencalonan perdana menteri yang muktamad sebaik-baiknya dibuat kemudian iaitu sejurus selepas memenangi PRU-14, dan berdasarkan keputusan masing-masing bagi parti-parti komponen PH.

Kami berpendapat bahawa lahirnya seorang perdana menteri, satu-satunya ketua kerajaan persekutuan sesebuah negara, adalah daripada parti politik yang memenangi bilangan kerusi Parlimen yang menyakinkan dalam komposisi sebuah gabungan parti pemerintah.

Seperti yang telah disebut tadi, perdana menteri mestilah seseorang yang disokong oleh majoriti dalam Dewan Rakyat, iaitu melebihi 50 peratus. Kini Dewan Rakyat mempunyai 222 kerusi Parlimen, menurut Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan, maka perdana menteri mestilah seseorang yang disokong oleh 112 orang ahli Dewan Rakyat.

Dalam PRU-13 pada 5 Mei 2013, Barisan Nasional (BN) telah memenangi 133 kerusi Parlimen, dengan Umno memenangi 88 kerusi, oleh itu pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak yang juga merupakan presiden Umno yang selama ini mendominasi BN  terus menjadi perdana menteri.

Oleh itu, jika BN ditewaskan dan kerajaan baru dibentuk, maka perdana menteri baru daripada kerajaan yang ditunjangi PH nanti sebaik-baiknya hendaklah seorang ahli Dewan Rakyat yang berasal daripada parti politik yang memenangi bilangan kerusi Parlimen yang meyakinkan serta mendapat sokongan 112 kerusi Dewan Rakyat, biarpun parti-parti komponen bertanding dengan tiket masing-masing, memandangkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) kelihatan masih berlengah-lengah dalam memproses permohonan pendaftaran PH sebagai suatu gabungan parti-parti politik.

Berdasarkan keputusan PRU-12 dan PRU-13 serta pengamatan semasa, senario yang lebih mungkin berlaku adalah sekiranya PH memenangi PRU-14, parti komponen PH yang akan memenangi kerusi Parlimen yang menyakinkan adalah DAP dan PKR, diikuti PPBM dan Amanah.

Realiti politik menolak kemungkinan lahirnya seorang perdana menteri daripada DAP dan Amanah. Sesungguhnya, pemimpin DAP terutamanya ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang telah berkali-kali menafikan niatnya untuk menjadi perdana menteri. Maka calon perdana menteri “peralihan” berkisar antara PKR dan PPBM.

Andaikan keputusan PRU-14 menunjukkan PPBM memenangi bilangan kerusi Parlimen yang sama atau melebihi bilangan kerusi PKR, maka tiada masalah untuk PPBM mencalonkan pemimpinnya sebagai perdana menteri. Parti-parti komponen yang menyokong calon tersebut juga tidak berdepan dengan sebarang krisis legitimasi dalam konteks Perlembagaan Persekutuan.

Tetapi, andaikan keputusan PRU-14 menunjukkan PKR memenangi bilangan kerusi Parlimen yang menyakinkan sedangkan bilangan kerusi PPBM tidak setimpal malah jauh berkurangan berbanding bilangan kerusi PKR, maka penetapan calon perdana menteri daripada PPBM sebelum keputusan PRU-14 diketahui akan menjurus kepada kemungkinan berlakunya krisis legitimasi.

Sesungguhnya, dalam konteks PH memenangi PRU-14 di peringkat kerajaan persekutuan, senario semasa menunjukkan bahawa PKR berkemungkinan besar memenangi bilangan kerusi Parlimen yang lebih banyak berbanding PPBM.

Kami berpendapat, barisan pimpinan PH faham bahawa perkara yang penting sebelum melantik seseorang perdana menteri adalah mendapat kemenangan dalam pilihan raya. Oleh itu, sentimen pengundi perlu dijaga dan diutamakan. Tiada jaminan bahawa pengundi yang mengundi PH semasa PRU-13 akan kekal dengan sokongan undinya terhadap PH semasa PRU-14.

Terdapat sentimen di kalangan pengundi pelbagai lapisan mesyarakat yang melihat sikap PH terhadap sokongan padu PRU-13 yang diberikan oleh pengundi, khususnya sokongan pengundi bukan Melayu dan pengundi bukan desa, sebagai “take for granted”.

Kami jangkakan jika pencalonan perdana menteri “peralihan” diteruskan sebelum keputusan PRU-14 diketahui, tanpa syarat dan tanpa mengambil kira pandangan berbeza pelbagai pihak, sentimen negatif sebilangan pengundi secara signifikan, yang menyokong perubahan rejim pemerintah, tetapi tidak setuju dengan PH dalam beberapa perkara tertentu, akan terus menular.

Kami berpendapat bahawa pertukaran kerajaan persekutuan tidak akan berlaku dengan bergantung kepada perolehan undi satu kaum sahaja di negara Malaysia yang berbilang kaum.

Dalam sejarah Malaysia, apabila majoriti Melayu yang cukup besar menyokong parti pembangkang, pertukaran kerajaan persekutuan tidak berlaku kerana majoriti bukan Melayu yang cukup besar menyokong parti pemerintah sedia ada, semasa PRU-10 pada tahun 1999, adalah satu contoh yang wajar dijadikan pengajaran.

Sedangkan PRU-14 semakin menghampiri, apa yang kita perlukan adalah tindakan yang tidak mengundang krisis legitimasi, dan yang boleh membawa ledakan sentimen positif dan momentum masyarakat pelbagai lapisan untuk perubahan.

Kami berpendapat, perbincangan atau dialog dengan masyarakat sivil dan  perwakilan-perwakilan yang seluas mungkin perlu diadakan oleh barisan pimpinan PH untuk mendapatkan pandangan masyarakat sebelum membuat keputusan yang boleh mengundang konroversi kemudian hari.

Menurut laporan The Malaysian Insight pada 5 Disember 2017, penganalisis politik CC Liew meramalkan mereka yang mungkin merosakkan undi adalah sekitar 10 hingga 15 peratus pengundi Cina. Penganalisis politik Dr Phoon Wing Keong menjelaskan bahawa tidak ramai yang memilih untuk membuat undi rosak tetapi yang berlaku adalah kadar keluar mengundi akan berkurangan.

Secara khususnya, pengamatan penganalisis-penganalisis politik yang memahami bahasa Cina dan mengikuti perkembangan masyarakat Tionghua secara dekat menjurus kepada analisa yang sama, yakni kadar keluar mengundi akan menurun kepada satu paras yang rendah. Seterusnya, kadar keluar mengundi yang lebih rendah akan menjejaskan peluang PH untuk menang.

Bayangkan, apa yang berlaku apabila kadar keluar mengundi berkurangan kepada paras 70 peratus?

Jika sekiranya tindakan yang diambil oleh pimpinan PH adalah perkara yang wajar dilakukan, maka tiada masalah ia diputuskan, meskipun keputusan yang diambil berdepan dengan risiko menurunkan kadar keluar mengundi. Sesuatu yang wajar hendaklah dilakukan kerana ia benar dalam konteks yang diutarakan.

Tetapi, jika apa yang berlaku adalah sebaliknya, di mana keputusan tertentu adalah cacat dari segi kewajarannya, maka apabila mengundang kontroversi atau lebih serius lagi, apabila berdepan dengan krisis legitimasi nanti, sebuah gabungan parti yang berazam memerintah dengan kebijaksanaan baru, akan memakan dirinya.

Sebuah gabungan parti yang berniat untuk bertanding hanya dalam satu PRU akan cenderung untuk mengendahkan soal pokok berkisar sekitar kewajaran dan legitimasi tindakan politiknya.

Manakala, sebuah gabungan parti yang berazam untuk bertanding dalam pilihan raya-pilihan raya seterusnya akan cenderung untuk memandang berat soal kewajaran dan legitimasi tindakan politiknya.

Kami percaya PH bukanlah sebuah gabungan parti yang hanya berniat untuk bertanding dalam satu PRU. Justeru, kami berharap, pimpinan PH tidak mengabaikan soal kewajaran dan legitimasi tindakan politiknya.

– Malay Mail

.