PM KUTUK KOREA UTARA JADIKAN RAKYAT MALAYSIA ‘TEBUSAN’

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengecam keras keputusan Korea Utara menyekat rakyat Malaysia daripada meninggalkan republik itu.

“Perbuatan jelik ini, dengan menahan rakyat kita sebagai tebusan, membelakangi sama sekali semua undang-undang antarabangsa dan norma-norma diplomatik,” katanya.

Pyongyang hari ini mengumumkan sekatan sementara kepada semua rakyat Malaysia daripada meninggalkan negara itu atas alasan untuk memastikan keselamatan diplomat dan rakyatnya yang masih berada di Malaysia.

Keputusan itu dibuat ketika ketegangan semakin memuncak selepas Korea Utara tidak berpuas hati dengan siasatan Malaysia terhadap kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin republik itu Jong-un.

Dalam kenyataan hari ini, Najib juga berkata, sebagai sebuah negara yang cintakan keamanan, Malaysia akan mempertahankan hubungan baik dengan semua negara.

Bagaimanapun, katanya, usaha melindungi rakyat Malaysia adalah keutamaan beliau dan “kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan diperlukan apabila mereka terancam”.

Perdana menteri juga mengarahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersidang susulan ketegangan terbaru dengan Korea Utara.
“Saya juga mengarahkan ketua polis negara melarang semua rakyat Korea Utara di Malaysia daripada meninggalkan negara ini sehingga kita dapat memastikan keselamatan semua rakyat Malaysia di Korea Utara,” katanya.

Beliau berharap penyelesaian segera dapat dibuat dalam menangani kemelut itu.

“Saya gesa kepimpinan Korea Utara untuk segera membenarkan rakyat kami meninggalkan negara itu bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

– M’kini

.