PM, JANGAN BERI UCAPAN RETORIK

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak perlu retorik dalam menzahirkan bantahan terhadap tindakan terbaru Amerika Syarikat (AS) untuk memindahkan ibu negara Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Sebaliknya, Najib perlu serius menyuarakan bantahan rasmi kerana Kuala Lumpur adalah suara Islam rantau sejagat.

Penolong Setiausaha AMK, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, satu tindakan komprehensif perlu dilakukan sebagai tanda Kuala Lumpur membantah keras tindakan Presiden AS, Donald Trump, termasuk membatalkan hasrat Malaysia untuk membeli 25 Boeing 737 dan membangunkan prasarana di AS melalui pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dicadangkan bermula 13 September lalu.

“Saranan Ketua Pembangkang, Datuk Seri  Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk memanggil sidang khas Parlimen, khusus bagi membincangkan isu terbaru melibatkan Baitulmaqdis dilihat langkah tepat dalam menzahirkan bantahan Kuala Lumpur terhadap AS.

“Pembangkang dan kerajaan perlu dilihat bersama dalam solidariti terhadap Palestin,” katanya.

Katanya Jumaat lalu, Pemuda Pakatan Harapan menyerahkan memorandum bantahan di Kedutaan AS.

“Tindakan susulan ialah kerajaan perlu panggil Duta Besar AS ke Malaysia untuk memberi penjelasan sebagai isyarat bantahan kepada negara berkenaan,” katanya.

– Sinar Harian

.