PM hanya dua penggal memang ada manfaat tapi…

SHAH ALAM – Cadangan Naib Presiden Parti Peribumi Bersatu (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berhubung tempoh perkhidmatan perdana menteri dihadkan kepada dua penggal sahaja diakui memang ada manfaatnya.

Namun, penganalisis politik, Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata isu mengehadkan tempoh itu bukan menjadi persoalan utama.

“Yang dituntut kepada pemimpin itu walau panjang atau pendek tempohnya ialah sejauh mana mereka dapat berpegang kepada prinsip tadbir urus yang baik. Selagi berlaku penyelewengan, salah guna kuasa, rasuah dan sebagainya, selagi itu lah walau tempoh diberi itu disingkatkan, ia tidak akan berguna juga.

“Lebih bermakna walau panjang atau pendek tempohnya, selagi beliau (perdana menteri) disenangi pemimpin parti dan rakyat yang mengundi, selagi itu kita boleh biarkan dia memerintah tapi tidaklah terlalu lama sampai 30 tahun,” katanya kepada Sinar Online.

Mukhriz dalam sesi dialog bersamanya Khamis lalu berkata sekiranya kerajaan yang baharu ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pihaknya akan mencadangkan supaya tempoh perkhidmatan perdana menteri dihadkan bagi dua penggal sahaja.

Mengulas lanjut, Jeniri berkata jika tempoh perkhidmatan perdana menteri itu tidak dihadkan pula, seorang pemimpin yang lemah dan prestasinya tidak begitu baik akan terus kekal di atas selagi mendapat sokongan parti.

“Kepimpinan yang lemah dan mendatangkan kerosakan kepada negara itu akan berterusan. Sudah tentu kesan negatif akan bertambah. Ini pastinya tidak baik untuk rakyat.

“Tapi untuk hadkan hanya 10 tahun itu saya fikir tidak ada mana-mana pemimpin politik yang berada di atas itu bersedia untuk bertolak ansur dan turun,” katanya yang tidak menolak rakyat hari ini bakal menyokong cadangan tersebut melihat kepada perkembangan politik semasa.

Katanya, “hakikatnya 10 tahun itu sudah memadai untuk seseorang pemimpin mencetuskan idea dan gagasan bagi memajukan negara jika beliau benar-benar komited dengan amanah yang diletakkan di atas bahunya.”

Menyentuh soal cadangan itu lagi, Jeniri membangkitkan hakikat orang ramai akan mempertikaikan Mukhriz susulan pentadbiran ayahnya, Tun Dr Mahathir Mohamad berlaku selama 22 tahun.

“Orang pastinya akan mempertikaikan, kenapa cadangan sedemikian hanya dikemukakan sekarang dan tidak ketika zaman Tun Dr Mahathir? Walaupun waktu itu, Dr Mahathir memerintah, begitu banyak masalah berkaitan kepimpinan, tadbir urus dan sebagainya hingga mencetuskan konflik politik yang tajam,” katanya.

Sementara, pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Samsu Adabi Mamat melihat pemimpin dari PKR layak menjadi perdana menteri sekiranya Barisan Rakyat yang disebut-sebut menang dalam PRU14 akan datang.

“Parti teras kena ada. Ia bagi menentukan siapa yang bakal menjadi perdana menteri. Ketua Barisan Rakyat lah yang akan menjadi perdana menteri nanti apabila menang. Masalah mereka hadapi ialah siapa parti teras itu? Bersatu, Amanah, PKR atau DAP?

“Dulu dalam PR, PKR seolah-olah penggerak kepada pakatan ini di peringkat awal di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jadi, parti teras ini seharusnya PKR,” katanya.

Ketika diminta mengulas lanjut, beliau menyifatkan PKR merupakan sebuah parti pelbagai kaum walaupun didominasi pemimpin Melayu.

“Jadi, PKR lah sesuai jadi parti teras. Takkanlah parti Bersatu nak jadi parti teras. Tetapi kalau untuk tujuan kepimpinan, mereka (Barisan Rakyat) boleh tonjolkan Tun Mahathir atau Tan Sri Muhyiddin (Yassin) sebagai ketua umum.

“Di situ mungkin mereka tidak guna sistem parti teras tapi sistem siapa yang paling menyerlah dalam kepimpinan mereka dan jika semua setuju maka boleh lah dilakukan (angkat Mahathir atau Muhyiddin sebagai ketua umum pembangkang),” katanya.

Mukhriz sebelum ini turut mendedahkan partinya bakal mengesyorkan kepada parti-parti pembangkang lain untuk membentuk gabungan Barisan Rakyat bagi memastikan satu lawan satu di PRU14 kelak. – Sinar Harian

.