PLOT BOM SKALA BESAR TAK MENJADI

Tujuh lagi suspek ditahan polis antipengganas Malaysia melalui operasi di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor antara 21 hingga 26 Februari lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, suspek terbabit terdiri daripada seorang rakyat Malaysia manakala selebihnya warga Indonesia dan Asia Timur (masing-masing seorang) dan Yaman (empat).

Kata Khalid suspek warga Malaysia itu berusia 41 tahun manakala warga Indonesia berusia 28 tahun.

“Mereka yang bekerja sebagai juruteknik kilang dan petani ditangkap di Kepong.

“Suspek dari Indonesia itu pernah diusir dari Turki pada Jun 2016 selepas ditangkap ketika cuba menyeludup masuk ke Syria bagi menyertai kumpulan Daesh,” katanya.

Khalid juga memberitahu, kedua-dua suspek terbabit mendapat arahan daripada Muhammad Wanndy Mohamad Jedi supaya melancarkan serangan menggunakan bom kenderaan berskala besar di Malaysia sebelum menyusup keluar dari negara ini dan menyertai Daesh di Syria.

Suspek warga Asia Timur itu pula berusia 37 tahun ditangkap di Petaling Jaya, Selangor, kerana disyaki menganggotai kumpulan pengganas yang menjadikan Malaysia sebagai tempat transit dan perlindungan.

Kata Khalid, suspek terbabit masuk ke Malaysia pada 2011 menggunakan pas pelajar dipercayai palsu dari sebuah institusi pengajian tinggi awam di Lembah Kelang.

“Siasatan awal mengesahkan suspek mempunyai hubungan dengan salah seorang anggota kumpulan pengganas dari Asia Timur yang mengatur kemasukan pengikut mereka ke Malaysia sebelum berlepas ke Syria,” katanya.

Sementara itu empat warganegara Yaman yang ditangkap di Serdang dan Cyberjaya pada 26 Februari lalu disyaki menganggotai kumpulan pemberontak di negara itu.

Siasatan polis juga mendapati mereka terbabit dalam aktiviti pemalsuan dokumen perjalanan.

Khalid berkata, turut dirampas dalam operasi tersebut ialah pelbagai pasport antarabangsa dan pelbagai matawang bernilai RM270,000.

“Ia dipercayai untuk disalurkan kepada kumpulan pemberontak tersebut,” katanya.
Menurut Khalid semua tujuh suspek tersebut ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan keganasan.

Mereka, katanya, akan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.

“Seorang daripada mereka juga ditahan mengikut Akta Imigresen,” katanya.

– M’kini

.