PKR TIDAK PERNAH KHIANATI PRINSIP TAHALUL SYIASI – ANWAR

Penasihat Umum KeADILan, Anwar Ibrahim menegaskan bahawa partinya sesekali tidak mengkhianti prinsip tahalul syiasi dan menganggap tuduhan itu sebagai satu yang tidak adil dan tidak wajar kepada partinya.

“Saya mengulangi kenyataan Presiden KEADILAN bahawa KEADILAN tidak pernah mengkhianati prinsip tahaluf siyasi semenjak terbentuknya muafakat politik walaupun ada pihak yang mentohmah KEADILAN dengan tohmahan yang tidak adil dan tidak wajar,” katanya dalam satu kenyataan rengkas mengulas tindakan parti agama memutuskan hubungan politik dengan Keadilan.
Berikut adalah kenyataan penuh Anwar Ibrahim yang dikirim ke blog ini.

Saya merujuk kepada keputusan Majlis Syura Ulama Pas yang membatalkan tahaluf siyasi dengan KEADILAN.

Saya tetap menghargai sikap pimpinan PAS termasuk Almarhum Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat, Almarhum Dato’ Fadzil Noor dan Tuan Guru Dato’ Seri Hadi Awang sejak 1998 yang menjalin kerjasama erat.

Saya faham ini adalah keputusan pimpinan PAS. Namun, saya musykil kerana alasan yang diberikan tidak tepat, terutama dalam kaitan dengan RUU355. Ternyata pimpinan PAS tidak meneliti kenyataan saya dan Presiden KEADILAN yang menghormati hak Tuan Guru Dato’ Seri Hadi Awang dan mengusulkan supaya dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan.

Malah Dato’ Sri Najib Razak lah yang menegaskan bahawa Kerajaan UMNO-BN tidak akan membawa Rang Undang-Undang Pindaan Akta 355 (RUU355) sebagai urusan kerajaan, yang bermakna RUU355 akan terkubur. Anehnya UMNO tidak dipersalahkan kali ini.

KEADILAN ternyata telah berusaha dan menzahirkan segala daya untuk mengekalkan muafakat politik tersebut. Permuafakatan politik tersebut digarap dan dibangunkan demi cita-cita membawa perubahan yang lebih baik buat rakyat Malaysia.

Saya mengulangi kenyataan Presiden KEADILAN bahawa KEADILAN tidak pernah mengkhianati prinsip tahaluf siyasi semenjak terbentuknya muafakat politik walaupun ada pihak yang mentohmah KEADILAN dengan tohmahan yang tidak adil dan tidak wajar.

Matlamat KEADILAN adalah jelas iaitu untuk menewaskan UMNO-BN yang kleptokrat dan perasuah, dan terutama kerana mengkhianati rakyat yang semakin dibebankan dengan sara hidup yang kian meningkat.

Perkembangan ini mengaitkan kedudukan Kerajaan Negeri Selangor. Saya yakin Sdra Dato’ Seri Azmin Ali terus menerajui Negeri Selangor berdasarkan mandat penuh rakyat dan khidmat rakyat yang dicurahkan selama ini.

Anwar Ibrahim

–¬†http://msomelayu.blogspot.my/

.