Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Datuk Sulaiman Abdul Razak berkata, sikap menyalahkan pihak lain itu jelas diamalkan oleh kerajaan negeri sejak dahulu lagi apabila sesuatu keadaan tidak memihak kepada mereka.

Menurutnya, sebelum ini, Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd.) dihentam dengan pelbagai tuduhan termasuk dianggap tidak tahu urus air dan loji rawatan air apabila berlaku masalah bekalan tersebut.

“Sekarang, Syabas telah diambil alih oleh kerajaan negeri di bawah Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), tetapi masalah sama masih berlaku malah lebih buruk.

“Namun kerajaan negeri tidak pula menyalahkan Air Selangor. Sebaliknya mereka menyalahkan agensi kerajaan Pusat seperti JAS (Jabatan Alam Sekitar), kononnya tidak tahu menjalankan tugas,” katanya kepada pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap ucapan perbahasan Bajet Selangor 2017 oleh Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) yang sebelum itu membangkitkan tuduhan sabotaj di sebalik insiden pencemaran sungai hingga menyebabkan penutupan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih baru-baru ini.

Tambah Sulaiman, selain JAS, polis juga dipersalahkan kononnya lambat menyiasat kes pencemaran sungai baru-baru ini yang didakwa ada unsur-unsur sabotaj.

– UTUSAN ONLINE

.