PKR SEDIA BUKA PINTU RUNDINGAN DENGAN PAS

SHAH ALAM – PKR bersedia membuka pintu untuk berunding bersama Pas khususnya mengenai kerjasama menjelangnya PRU14 tidak lama lagi.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, masih belum terlambat utk kedua-dua parti itu berunding demi masa depan bersama.

“Kita masih menunggu jika Pas sedia berunding, tapi kita faham pada masa ini keputusan Pas masih tetap iaitu bergerak sendirian.
“Kerana itu kami tidak kisah dan memberi masa untuk Pas memberi kata putus,” katanya kepada Sinar Harian Online baru-baru ini.

Beliau bagaimanapun menolak pertemuannya dengan Presiden PKR, Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika melawat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini bersifat politik.

“Itu hanya ziarah biasa kerana beliau (Abdul Hadi) baru menjalani rawatan di Institut Jantung Negara.

“Tidak ada langsung kami berbincang ke arah itu. Tunggulah dulu, nanti kalau semua dah ok, sama tahu Pas mahu berbincang mengenai perkara itu, PKR sedia bekerjasama,” katanya.

– Sinar Harian

.