PKR SEDIA BERALAH DALAM RUNDINGAN KERUSI DI SELANGOR TAPI DENGAN SYARAT

PKR Selangor bersedia mengurangkan jumlah kerusi yang ingin ditandingi dengan syarat rakan parti lain dalam Pakatan Harapan (PH) dapat membuktikan kemenangan di kerusi yang dilepaskannya.

Ketua Wanita PKR Selangor, Haniza Talha berkata, parti itu juga tidak pernah menyekat permintaan parti dalam gabungan PH untuk bertanding namun ia mestilah berdasarkan faktor boleh menang.

“Apa pun yang penting objektif kita adalah untuk mencapai kemenangan.

“PKR terbuka. Ya, tapi mereka kena buktikan kemampuan untuk menang dari segi jentera, calon dan dari segi sama orang kenal parti tersebut atau tidak,” kata Haniza yang juga  merupakan anggota jawatankuasa rundingan kerusi PH Selangor.

Haniza mengulas mengenai isu berhubung rundingan kerusi di kalangan parti dalam PH di Selangor yang kini dirundung kontroversi.

Rundingan tersebut masih berlarutan dan tarikh akhirnya dilanjutkan kepada 7 Februari, ekoran tindakan PKR yang bertegas untuk bertanding di lebih banyak kerusi.

Dalam pilihan raya lalu, PKR bertanding 21 kerusi tetapi kini yakin dapat menang di lebih banyak kerusi. Tuntutan tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan parti Amanah dan Bersatu.

Haniza menjelaskan, PKR menuntut jumlah kerusi paling banyak untuk ditandingi memandangkan kajian dan selidik akar umbi menyatakan parti tersebut boleh menang di kawasan terbabit.

Jelasnya, peluang itu berdasarkan prestasi cemerlang PKR sebagai kerajaan menerajui Selangor.

“Kita rasa cabaran agak getir kepada kawan-kawan baru macam Amanah, Bersatu kerana mereka perlu kenalkan lagi parti di tempat yang mereka akan bertanding.

“Tetapi PKR rakyat dah kenal dengan parti kita,” katanya yang juga merupakan Ketua Wanita PH Selangor.

Beliau juga berkata tidak adil jika isu mengenai pembahagian kerusi hanya di gembar-gemburkan di Selangor walhal negeri lain turut terbabit dengan perkara itu.

“Rundingan kerusi masih berjalan saya perlu tegaskan bukan saja negeri Selangor yang  menjalankan perbincangan tetapi negeri lain berjalan rundingan juga.

“Adalah tidak wajar kita hanya menonjolkan Selangor saja yang masih belum selesai pembahagian kerusi. Matlamat kita adalah untuk mengekalkan kerajaan sedia ada dan pastikan calon dipilih akan membawa kemenangan, ia bukan perkara mudah.”

Katanya ketika ini keputusan mengenai pembahagian kerusi yang sudah dimuktamadkan ialah PKR akan mempertahankan 14 kerusi sedia ada mereka.

“Yang kita belum muktamad ialah hanya kerusi yang kita belum menang dan kerusi PAS,” katanya lagi semasa ditemui media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Beliau berkata, Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali juga menunjukkan kesediaannya untuk berunding mengenai pembahagian kerusi walau ada  pihak yang didakwanya cuba menggambarkan sebaliknya.

Selain menjelaskan mengenai isu pembahagian kerusi, sidang media pagi ini juga bertujuan menyokong penuh kepimpinan Azmin Ali.

Dalam acara bersama kira-kira 50 ahli akar umbi yang hadir, Setiausaha PKR Borhan Aman Shah dalam ucapannya menyeru agar rakan parti dalam PH memberi sokongan terhadap menteri besar Selangor itu.

“Kami berharap agar kesemua parti komponen dalam PH khususnya negeri Selangor dapat menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi dan menghoramti kedudukan Azmin Ali selaku Pengerusi PH Selangor.

“Ini perlu dicapai demi memastikan kesinambungan pemerintahan Pakatan di negeri Selangor.”

– https://www.themalaysianinsight.com

.