PKR NAFI LARANG AMANAH BERTANDING DI S’GOR, PP

PKR menafikan meminta Parti Amanah Negara (AMANAH) agar tidak bertanding di Selangor dan Pulau Pinang pada pilihan raya umum Ke-14 (PRU-14) sebagaimana yang dilaporkan oleh akhbar, baru-baru ini.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafie berkata, pihaknya tidak membuat sebarang keputusan untuk melarang AMANAH daripada bertanding di kedua-dua negeri berkenaan.

“PKR Selangor sangat bersetuju strategi satu lawan satu untuk berdepan BN (Barisan Nasional) dengan menyeru Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) memberikan lebih fokus dan tumpuan di kawasan selatan Semenanjung atau negeri-negeri lain yang belum dikuasai pakatan (pembangkang).

“Bagaimanapun PKR Selangor akan akur dengan arahan daripada kepimpinan untuk melaksanakan sebarang kerjasama termasuk dalam pembahagian kerusi dengan BERSATU,” katanya dalam kenyataan menerusi aplikasi WhatsApp, memetik laporan Utusan Online.

Baru-baru ini, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali berkata, cadangan penggabungan PKR dan AMANAH wajar dipertimbangkan.

Kata beliau yang juga menteri besar Selangor itu, ia perlu diteliti kerana melibatkan soal kedinamikan parti dan sesebuah pertubuhan yang demokratik perlu bersikap terbuka.
“Bagi saya, kita tak boleh ambil sikap acuh tak acuh atau ketepikannya (langsung).

“Cadangan berkenaan boleh dibincangkan dan pertimbangkan tetapi bukanlah kerana ada perebutan kerusi,” tambah Azmin.

Mengulas lanjut, kata Shuhaimi, isu pembahagian kerusi hanya akan ditentukan oleh kepimpinan parti di peringkat pusat manakala pihaknya bersedia memberikan sebarang cadangan bersesuaian secara tertutup.

– M’kini

.