PKR: MENTERI TAKUT WARGA KL BERSATU LAWAN PEMAJU

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menggesa Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor tampil sendiri untuk mengadu kepada polis dan SPRM jika tidak puas hati dengan penduduk yang bantah projek pembangunan. – Foto MalaysiaDateline

Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor kini panik dan takut dengan bantahan penduduk ke atas projek pembangunan sehingga sanggup menggesa pemaju untuk mengadu kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, kata PKR.

Pengarah komunikasi parti itu, Fahmi Fadzil berkata Tengku Adnan sepatutnya menggesa agar perancang, pemaju dan penduduk bekerjasama untuk memasttikan pelan perancangan Kuala Lumpur memberi faedah kepada semua pihak.

Sebaliknya, Tengku Adnan hanya memihak kepada kumpulan pemaju sahaja, kata Fahmi yang kesal dengan tindakan menteri itu menuduh penduduk berkenaan didalangi pihak tertentu “untuk mendapatkan imbuhan tertentu daripada pihak pemaju”

“Kenyataan Ku Nan ini menunjukkan beliau amat panik dan takut dengan bantahan penduduk-penduduk ini.

“Ini kerana Ku Nan dan Umno-BN jarang melihat penduduk Kuala Lumpur bersatu hati dan bergerak bersama untuk mempertahan kawasan perumahan serta hak mereka sebagai pembayar cukai pintu dan cukai tanah seperti yang berlaku sekarang,” kata Fahmi.

Dalam kenyataan itu, Fahmi turut menggesa agar menteri tersebut tampil sendiri untuk membuat laporan ke atas penduduk terlibat.

“Jika Ku Nan berani untuk mengeluarkan kenyataan sebegini, maka bukan pemaju hartanah tetapi Ku Nan sendiri yang perlu membuat laporan polis dan SPRM terhadap persatuan-persatuan penduduk itu.

“Maka, saya cabar Ku Nan sendiri untuk segera membuat laporan polis dan SPRM terhadap penduduk-penduduk Kuala Lumpur ini.

Fahmi yang juga ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Lembah Pantai turut menyeru agar warga Kuala Lumpur menyertai kumpulan penduduk di Taman Tun Dr Ismail, Bukit Bandaraya, Bangsar dan Taman Desa di Kuala Lumpur untuk mempertahankan hak mereka sebagai pembayar cukai.

Kawasan ini menjadi tumpuan sejak beberapa bulan lalu susulan bantahan yang disuarakan penduduk ke atas projek pembinaan, terutama kondominium mewah, di sekitar penempatan mereka.

Fahmi berkata, langkah itu akan membolehkan penduduk bersuara dalam perancangan pembangunan kawasan yang memberi impak terhadap kehidupan mereka.

“Saya percaya penduduk-penduduk Kuala Lumpur kini tidak lagi takut dengan kenyataan-kenyataan gertak yang dibuat Ku Nan ini.

“Kuala Lumpur bukan milik mana-mana satu menteri, mana-mana satu parti politik, atau mana-mana satu persatuan penduduk. Kuala Lumpur ini milik kita bersama.

“Marilah kita bersama-sama pertahan dan bangunkan Kuala Lumpur demi masa depan yang lebih baik untuk semua warga Kuala Lumpur,” tambahnya lagi.

Tengku Adnan dalam kenyataannya semalam menyeru pemaju untuk membuat laporan polis dan SPRM sekiranya berhadapan dengan kumpulan penduduk yang membantah pembinaan di Kuala Lumpur kerana ia perkara yang tidak boleh dikompromi.

Setiausaha Agung Umno itu juga mendakwa penduduk yang berkumpul dan menyatakan bantahan di beberapa tempat Kuala Lumpur didalangi pihak tertentu untuk mendapatkan imbuhan daripada pemaju

“Saya telah memohon kepada pihak pemaju untuk melaporkan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dengan tindakan pihak-pihak tertentu berikut.

“Saya tidak akan berkompromi dengan tindakan pihak-pihak tertentu tersebut yang bertentangan dengan undang-undang dan adalah untuk kepentingan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan semalam. – The Malaysian Insight

Beliau bagaimanapun tidak menyebutkan kumpulan penduduk yang dimaksudkan.

– https://www.malaysianreview.com

.