PKR MASIH KEKAL LANTIKAN POLITIK DI KELANTAN

SHAH ALAM – Lantikan politik ahli PKR di Kelantan masih berjalan seperti biasa walaupun Pas telah memutuskan tahaluf siyasi dengan parti tersebut.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata,  buat masa ini, tidak ada mana-mana ahli PKR melepaskan sebarang lantikan politik dan kesemua mereka masih meneruskan tugas seperti biasa.

“Ia adalah satu persefahaman yang diluar dari apa yang kita fikirkan.

“Mereka masih belum meletak sebarang jawatan dan setakat ini ia masuh berjalan seperti biasa,” katanya selepas menyertai Program Ihya’ Ramadhan Bersama Anak Perantauan Kelantan yang diadakan di Dewan Bunga Kertas, malam ini.

Sebelum ini, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah mengarahkan ahlinya di Kelantan untuk melepaskan semua lantikan politik di negeri itu selepas Pas memutuskan tahaluf siyasi dengan parti berkenaan.

Dalam pada itu, Adun Guchil Kuala Krai, Mohamad Roslan Puteh yang turut menghadiri program berkenaan memaklumkan bahawa lantikan politik meliputi ahli majlis, penghulu dan penyelia di negeri itu sehingga hari ini masih berjalan seperti biasa.

“Belum ada lagi peletakkan jawatan kerana masih diperingkat berunding antara pimpinan negeri Kelangan dan pusat

“Walaupun ada war-war untuk kami letak jawatan tapi setahu saya, surat rasmi belum dihantar,” katanya.

Selain itu, Mohamad Roslan memaklumkan bahawa peruntukkan yang diterima olehnya dari kerajaan negeri tidak berkurangan.

Tambah beliau, dakwaan kerajaan negeri Kelantan ingin menganak-tirikan PKR di negeri tersebut hanyalah merupakan cakap-cakap kedai kopi sahaja.

“Sehingga ke hari ini kami masih menerima peruntukan dan ia tidak dipotong walau satu sen,”katanya.

– SH

.