PKR MAHU TANDING 16 KERUSI DUN

ALOR SETAR – PKR berhasrat bertanding di 16 kerusi Dun Kedah pada PRU14, sekaligus menjadikan parti itu dominan dalam kalangan Pakatan Harapan Kedah.

Penasihat PKR Kedah, Datuk Johari Abdul berkata, parti itu telah menyatakan kesediaan itu dalam mesyuarat Pakatan Harapan 15 Ogos lalu, namun belum dimuktamadkan.

“Kami cadangkan 16 kerusi Dun diberikan kepada PKR, namun rundingan mengenai pembahagian kerusi masih berlangsung. Ini kerana masih terdapat beberapa kerusi bertindih antara dua parti, di mana kerusi itu akan dirundingkan secara bilateral, iaitu bincang antara dua parti,” katanya, pada sidang media, di sini.

Menurutnya, ruang perbincangan masih terbuka untuk empat parti dalam Pakatan Harapan, dan tidak timbul isu berebut kerusi, seperti heboh diperkatakan di laman sosial.

“Jika ada rakan parti bertegas calon mereka lebih layak untuk bertanding di kerusi yang bertindih,  kita sedia runding, asalkan boleh menang,” katanya.

Mengulas permintaan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mahu kerusi Gurun dan Kulim diberikan kepada DAP pada PRU14, Johari berkata, ia antara kerusi yang akan dibincangkan secara bilateral.

“Kit Siang berhak berikan cadangan selaku pemimpin utama DAP, namun hasil daripada perundingan kelak yang akan tentukan kerusi itu milik siapa. Bagi PKR, kami juga ada hak pertahankan kerusi itu dengan berikan alasan kukuh. Masih ada masa untuk runding,” katanya.

Ahli Parlimen Sungai Petani itu berkata, ia bukan soal sanggup melepaskan kerusi ditandingi, sebaliknya bersikap tolak ansur dalam kalangan pembangkang.

“Memang kerusi itu ditandingi PKR sebelum ini, namun kita juga perlu dengar pandangan pihak lain. Jawatankuasa perundingan agihan kerusi peringkat negeri sentiasa adakan perbincangan, jika gagal capai keputusan, barulah dibawa ke jawatankuasa pusat untuk putuskan,” katanya.

Pada PRU13 lalu, PKR menang empat kerusi daripada10 kerusi ditandinginya, Pas pula menang sembilan daripada 24 kerusi ditandingi, namun terkini lapan kerusi Dun selepas Adun Pengkalan Kundor, Datuk Phahrolrazi Zawawi menyertai Amanah. Manakala BN juga susut satu kerusi kepada 20 kerusi Dun setelah Datuk Seri Mukhriz Mahathir kini terajui Bersatu.

Mengulas kouta kerusi ditandingi Pas sebelum ini, Johari berkata, empat parti itu sudah bincang potensi 36 kerusi Dun namun belum masanya untuk umumkan agihan setiap parti.

“Kerusi yang Pas bertanding sebelum ini pun kita sudah runding bersama, belum muktamad kerana ruang perbincangan masih dibuka. Setelah dipersetujui Pusat, kita akan umum,” katanya.

Kehadiran Bersatu dilihat seakan memberikan kekuatan kepada Pakatan Harapan, namun Johari tegaskan, parti itu bukan saingan, sebaliknya melengkapi antara satu sama lain.

“Bersatu memiliki pengaruh tersendiri melalui pemimpinnya, Mukhriz, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. PKR juga miliki ikonnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.  Kombinasi dua tokoh ini akan beri kekuatan kepada Pakatan Harapan,” katanya.

Menurutnya, PKR mahupun Bersatu akan memainkan peranan masing-masing dan tiada  parti dominan.

“PKR dah banyak kali berdepan tiga penjuru, Bukit Selambau mencatat sejarah dengan 16 penjuru, namun kita menang. Bermakna kita tak boleh pandang rendah kuasa rakyat,” katanya.

– Sinar Harian

.