PKR LETAK JAWATAN DI KELANTAN PALING LEWAT JULAI

Hampir sebulan selepas arahan dikeluarkan, PKR Kelantan setakat ini masih belum meletak jawatan lantikan politik di negeri itu.

Bagaimanapun kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, ia mungkin akan dilaksanakan sepenuhnya menjelang akhir Julai ini.

Ditemui media di Petaling Jaya hari ini presiden PKR itu memberitahu, setiausaha agung parti itu sudah bertemu dengan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Kelantan baru-baru ini.

“Masalah ini akan diselesaikan.

“Dalam urusan pentadbiran ada aspek teknikal yang perlu dilalui sebelum tindakan diambil,” katanya.

Dr Wan Azizah ditemui media selepas menghadiri mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini.

Pada 16 Mei lalu, bekas senator Saiful Izham Ramli, menyarankan anggota dan pimpinan PKR di Kelantan meletak semua jawatan lantikan politik ekoran keputusan PAS memutuskan tahaluf siyasi (kerjasama politik) dengan mereka.

Kata Saiful Izham, ketegasan itu boleh menghantar mesej kepada rakyat bahawa PKR benar-benar meletakkan kepentingan rakyat dan prinsip lebih utama berbanding keperluan peribadi.

“Kalau nak melihat PAS mengarahkan pemimpin mereka yang mendapat lantikan politik di Selangor meletakkan jawatan, PKR kena mulakan langkah dulu untuk menunjukkan kita ada prinsip dalam konteks melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat,” katanya kepada Malaysiakini.

PAS tanding semua kerusi

Pada malamnya, mesyuarat Biro Politik PKR memutuskan supaya semua lantikan politik PKR dalam kerajaan negeri Kelantan dilepaskan berkuatkuasa serta-merta.

Kata Dr Wan Azizah keputusan berkenaan sudah disampaikan kepada pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Kelantan.

Namun sehingga kini belum jelas kedudukan pemimpin dan anggota PKR di Kelantan.

Pada 3 Jun lalu Malaysiakini melaporkan belum ada anggota PKR meletak jawatan seperti diarahkan kepimpinan tertinggi mereka.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, berkata mereka tidak meletak apa-apa jawatan dan setakat ini ia berjalan seperti biasa.

“Satu persefahaman yang di luar daripada apa yang kita fikirkan,” katanya.

Wakil tunggal PKR di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Mohamad Roslan Puteh, pula berkata peletakan jawatan itu tidak dibuat kerana ia masih di peringkat rundingan.

“Lantikan politik (itu merujuk) ahli majlis, penghulu dan penyelia, sehingga hari ini belum lagi letakkan jawatan kerana masih di peringkat berunding antara pimpinan negeri Kelantan dan (PKR) pusat walaupun ada uar-uar letak jawatan tapi surat rasmi yang saya tahu belum dihantar,” katanya.

DUN Kelantan mempunyai 45 kerusi dan PKR hanya mempunyai seorang wakil di situ.

PAda 3 Jun lalu PAS Kelantan sudah mengumumkan untuk meletak calonnya di semua kerusi di negeri itu, bermakna mereka juga akan bertanding di kawasan yang sebelum ini diperuntukkan kepada PKR.

– M’kini

.