PKR KENA BERWASPADA TERIMA WAKIL RAKYAT PAS

Ketika PAS mengingatkan penyokongnya serta orang ramai mengenai bahaya fitnah, seorang bekas pemimpin parti itu pula menasihati PKR yang dilaporkan bersedia menerima wakil rakyat yang didakwa mahu mengubah wadah masing-masing.

Menurut Hanipa Maidin PKR perlu berhati-hati jika ada wakil rakyat PAS yang menyatakan hasrat mahu menyertai parti berkenaan.

Bekas pengerusi lanjah undang-undang PAS itu menjelaskan antara risiko yang perlu didepani PKR jika mengambil wakil rakyat terbabit ialah kemarahan pengundi.

“Takut nanti ada pengundi yang rasa parti suci itu itu macam barah atau kudis buta yang berbahaya serta boleh berjangkit. Jadi saya rasa mungkin ada orang yang anggap wakil rakyat terbabit pembawa penyakit itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Istilah “parti suci” dinyatakan Hanipa itu merujuk kepada PAS.

Minggu lalu The Malaysian Insight mendakwa akan berlaku “gelombang kedua” kemasukan pemimpin dan anggota PAS di Selangor.

Memetik kenyataan sumber tidak dinamakan, perkembangan itu dakwa portal terbabit berlaku menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Perpindahan itu juga didakwa membuka ruang buat anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS terus dicalonkan dalam PRU menggunakan tiket PKR.

Bak harimau terluka

Laporan itu segera dinafikan PAS. Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar A Samad misalnya menegaskan tidak ada mana-mana ADUN parti itu akan melompat parti.

“Pada saya ia adalah khabar angin yang sengaja dicipta untuk mengganggu persiapan PAS Selangor menghadapi PRU yang dijangka kurang dari tiga bulan dari sekarang.

“Ia juga adalah bertujuan untuk mewujudkan kegusaran di kalangan ahli agar mereka hilang tumpuan,” katanya pada 23 Dis lalu.

Berita ADUN melompat ini bukanlah sesuatu yang baru. Apabila Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib membuat pusingan U dengan kembali kepada Umno pada 17 Sept lalu, spekulasi mengenainya juga diperkatakan.

Sementara itu Timbalan Ketua Wanita PKR Selangor, Dr Daroyah Alwi, dilaporkan menyambut baik jika ada ADUN PAS di negeri itu ingin menyertai PKR.

Katanya, beliau mengalu-alukan kemasukan itu memandangkan PKR seboleh-bolehnya mahu mengelak pertandingan tiga penjuru pada PRU ke14 nanti.

“Memang Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad memberitahu dakwaan itu sebagai khabar angin dan hanya perang siber.

“Itu pendapat beliau saja, terserah. Namun jika ada yang berminat, kita tiada halangan dan menyambutnya dengan berlapang dada,” katanya kepada Sinar Harian.

Hanipa menjelaskan jika PKR menerima kemasukan ADUN PAS untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru, ia juga diragui keberkesanannya.

“Andai kata para ADUN itu bertanding terus di kerusi-kerusi incumbent mereka menggunakan tiket PKR, mungkin mereka berdepan dengan calon BN dan parti suci sekali lagi.

“Takkanlah parti suci nak duduk diam dan biarkan bekas ADUN mereka yang lari ke PKR tu dibiar tak dilawan. Hampir mustahil,” katanya lagi.

Satu lagi kemungkinan kata anggota parlimen Sepang itu, kemasukan ADUN terbabit ke dalam PKR akan menyebabkan PAS “terluka parah” dan bertambah garang.

“Kesannya tidak mustahil semua kerusi PKR di seluruh negara akan dikacau ganggu parti suci.

“Justeru, kemasukkan para ADUN itu bukan menjadi aset sebaliknya jadi liabiliti,” katanya.

Hanipa juga menjelaskan Parti Amanah Negara (AMANAH) kelihatan tidak berminat kepada ADUN terbabit

Mengakui ia bukanlah pendirian rasmi AMANAH, Hanipa mengagak parti berkenaan tidak berminat jika kemasukan itu bertujuan mahu kekal dicalonkan dalam PRU ke-14.

– M’kini

.