PKR KELANTAN SEDIA BERUNDUR JIKA CALON TAK KUAT

PKR Kelantan menyatakan kesediaan mereka untuk berunding dan membandingkan kekuatan calon mereka dengan calon dari parti lain dalam Pakatan Harapan.

“Mengenai hasrat kami, kita akan bincang di peringkat pimpinan. PKR akan bentangkan kekuatan dan profil calon-calon.

“Jika calon parti lain lebih mempunyai kekuatan, kita akan serah sesuatu kerusi itu pada parti tersebut,” kata pengerusinya Ab Aziz Ab Kadir ketika dihubungi Malaysiakini, di Kota Bharu, hari ini.

Beliau mengulas hasrat PKR untuk bertanding di 15 kerusi dewan undangan negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Hasrat itu mendapat pelbagai respon termasuk di kalangan penganalisis politik yang rata-rata beranggapan cadangan itu di luar jangkaan ramai.

Ab Aziz yang juga bekas calon parlimen Ketereh pada pilihan raya lalu menyifatkan PRU14 sebagai medan untuk HARAPAN membina ‘rumah baru’ di negeri itu.

Katanya, situasi kini sudah berbeza apabila terbubarnya gabungan Pakatan Rakyat dan PKR kini sebahagian daripada HARAPAN.

“Kini kita mahu bina rumah baru, bukan lagi menumpang tapak rumah orang.

“Dulu kita bertapak ‘di rumah PAS’ yang sudah disiapkan, jadi keadaannya berbeza, ” ujarnya.

Mengulas mengenai persediaan calon PKR Kelantan, tambah Ab Aziz pihak sudah bersedia dengan calon mencukupi untuk diletakkan di 15 DUN.

“Insya-Allah kita mempunyai calon-calon mencukupi dan pada perbincangan di peringkat negeri nanti kita akan kemukakan kekuatan calon-calon tersebut.

“Jadi kita boleh bandingkan dan bincang dengan rakan-rakan parti, ” katanya.

PKR kini bersama HARAPAN yang turut disertai Parti Amanah Negara (AMANAH), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan DAP.

Pada pilihan raya lalu PKR Kelantan hanya bertanding di lima kerusi DUN dan hanya menang di satu kerusi iaitu DUN Guchil melalui wakilnya, Roslan Puteh.

– M’kini

.