PKR: Johor bukan kubu kuat BN bila hilang majoriti

KULAI – Kehilangan dua pertiga majoriti kerusi Dun membuktikan bahawa Umno Johor bukan lagi antara kubu kuat BN seperti yang dilihat dalam beberapa saingan pilihan raya yang lalu.

Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tsee berkata, meskipun dilihat remeh ia merupakan satu pencapaian yang memberangsangkan pembangkang semenjak mula memegang kerusi di peringkat Dun pada 2004 yang lalu.

Menurutnya, perubahan drastik yang mengejutkan itu sekali gus menyemarakkan perjuangan parti berkenaan untuk merobohkan salah satu kubu kuat yang dinaungi kerajaan kini.

“Takziah kepada Umno Johor kerana gagal mengekalkan rekod dua pertiga kerusi Dun sekaligus membuka lembaran baharu dalam sejarah politik negara.

“Perkara ini sudah semestinya akan menjadi menimbulkan kegusaran kepada BN serta tidak lupa Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kerana terpaksa menjadi menteri besar pertama Johor yang pertama mengalami isu tersebut.

“Dengan pertukaran lanskap politik ini dengan dinamiknya usaha yang dijalankan saya lihat pada pilihanraya akan datang kita ada¬† keyakinan buat kali pertamanya akan ada perubahan besar,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Jimmy berkata, kejayaan tersebut juga mampu melancarkan perang psikologi terhadap kerajaan negeri apabila terpaksa berdepan tentangan hebat dari pihak pembangkang.

SINAR HARIAN

.