PKR: CADANGAN CALON PM BELUM MUKTAMAD

Mesyuarat Biro Politik PKR yang ditunggu-tunggu semalam gagal membuat keputusan muktamad sama ada parti itu bersedia menyokong cadangan melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sementara.

Selepas mesyuarat yang memakan masa kira-kira tiga jam di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, pemimpin parti itu ‘menutup mulut’ ketika ditanya wartawan tentang soal itu.

Sebaliknya pengarah komunikasinya Fahmi Fadzil membaca kenyataan yang disediakan awal.

Kenyataan rasmi itu tidak menyebut tentang usul melantik Mahathir memegang jawatan itu.

Kenyataan itu hanya menyatakan yang cadangan calon perdana menteri yang dikemukakan ketika pemukiman Pakatan Harapan (HARAPAN) minggu lalu memang dibincangkan dalam mesyuarat.

“Memandangkan cadangan tersebut belum diangkat secara rasmi oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan, dan mengambil kira sejarah serta prinsip perjuangan reformasi, maka Biro Politik PKR mengambil keputusan meneruskan perbincangan berkenaan cadangan ini untuk memastikan ianya terbaik buat Malaysia,” kata kenyataan itu.

Ketika ditanya lagi berhubung cadangan Mahathir atau pemimpin lain yang mungkin dijadikan calon perdana menteri, Fahmi berkata beliau tidak boleh mengulas tentangnya, namun memaklumkan memang ada “cadangan atau beberapa cadangan”.

Sebelum mesyuarat itu, Ketua Whip PKR Datuk Johari Abdul (gambar) mendedahkan ketika pemukiman lalu, HARAPAN bersetuju untuk menjadikan Mahathir sebagai calon perdana menteri dan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya.

Namun beliau yang juga ahli biro politik parti berkata ia perlu mendapat persetujuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dahulu, selaku Ketua Umum HARAPAN.

Malaysiakini turut melaporkan sebelum pemukiman, nama Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut disebut sebagai pemimpin yang mungkin dijadikan calon perdana menteri.

 

Sebelum mesyuarat semalam, pemimpin PKR enggan mengesahkan sama ada mereka telah mendapatkan pandangan Anwar berkenaan cadangan itu.

Ketika ditanya adakah ia sudah dibawa kepada Anwar yang kini masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur, Wan Azizah hanya berkata ia sedang dibincangkan.

Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Md Akin pula berkata kenyataan Johari bersifat peribadi dan bukan pendirian rasmi parti.

Fahmi juga berkata perkara yang sama. Beliau juga berkata tiada tarikh tertentu ditetapkan bagi parti membuat kenyataan rasmi berhubung soal itu.

– M’kini

.