PKR cadang 5 perkara ‘selamatkan’ Malaysia

SHAH ALAM – Ahli Parlimen PKR, Nurul Izzah Anwar, menyeru orang ramai bersuara demi menyelamatkan masa depan negara.

Menurutnya, masyarakat perlu memastikan suara mereka didengar selain mengetahui hak-hak mereka sebagai rakyat.

“Rakyat harus tolak proses persempadanan semula oleh SPR sehingga satu suruhanjaya sempadan berasingan dan bebas ditubuhkan selaras dengan cadangan PSC mengenai Reformasi Pilihan Raya.

“Selain itu, dapatkan maklumat penempatan mengundi anda dengan segera serta failkan aduan sekiranya dipindahkan tanpa sebab,” katanya dalam satu sidang media, hari ini.

Nurul Izzah turut menekankan rakyat seharusnya mengambil maklum dan mempertahankan hak demokratik mereka dalam isu persempadanan semula ini.

Beliau turut mengajak orang ramai untuk menyokong petisyen mereka kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membetulkan tindakan SPR yang dianggap merupakan satu pengkhianatan buat negara.

Tambahnya lagi, Selangor dan PKR akan mempertimbangkan tindakan undang-undang kepada semua pihak yang terbabit.

“Tiada siapa harus bertolak ansur dengan penipuan pilihan raya yang sistematik dan tiada kompromi akan diberikan kepada mereka yang terlibat,” katanya lagi. – Sinar Harian

.