PKR BOLEH TANDING BANYAK DUN KELANTAN DENGAN SYARAT…

PKR Kelantan perlu memanfaatkan kekuatan ketiga-tiga parti dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) sekiranya berhasrat bertanding 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Penganalis politik Profesor Madya Dr Awang Azman Pawi berkata ini kerana jentera PKR di negeri itu masih dilihat lemah berbanding parti-parti komponen HARAPAN yang lain.

“Saya lihat prestasi PKR Kelantan kurang memberangsangkan sama ada dalam aspek jentera dan gerak kerja jika dibandingkan dengan parti lain.

“Mereka perlu gunakan strategi baru dengan memanfaatkan sepenuhnya kekuatan ketiga-tiga parti dalam HARAPAN untuk memastikan mereka mendapat impak berkesan,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Semalam, PKR Kelantan menyatakan hasrat bertanding di 15 kerusi DUN negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

Pengerusi PKR negeri, Ab Aziz Ab Kadir berkata, selain mengekalkan lima kerusi DUN sedia ada PKR turut memohon 10 lagi tambahan kerusi DUN.

Menurutnya ia selari dengan semangat dalam HARAPAN untuk bersama mengembleng tenaga menempuh pada PRU14 nanti.

Awang Azman yang juga pensyarah di Universiti Malaya berkata, perebutan kerusi tidak sepatutnya menjadi isu bagi HARAPAN memandangkan terdapat 45 kerusi yang perlu ditandingi di negeri itu.

Menurutnya, HARAPAN boleh mengagihkan 15 kerusi kepada PKR dan 20 kerusi kepada Parti Amanah Negara (AMANAH), manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) boleh mengisi 10 lagi kekosongan kerusi.

Jelaskan isu nasional

Tambahnya, apa yang penting bagi HARAPAN di Kelantan adalah menjelaskan isu-isu nasional kepada pengundi tempatan seperti isu Cukai Barangan dan perkhidmatan (GST), kenaikan harga barang dan petrol.

“Sebab kita tahu pengundi di Kelantan isu nasional ini mereka agak kurang (faham) berbanding isu tempatan.

“Jadi HARAPAN perlu sediakan hujah kreatif untuk jadikan bahan kempen yang dapat mengaitkan kesan isu nasional kepada masyarakat tempatan,” hujah beliau.

Sementara itu penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dr Sivamurugan Pandian berpendapat, hasrat PKR Kelantan itu boleh tercapai dengan kompromi rakan-rakan parti yang lain.

Bagaimanapun katanya, pilihan raya umum lepas perlu menjadi kayu ukur kepada PKR.

“Apa saja agihan dibuat ia bergantung kepada sejauh mana AMANAH bersedia untuk berkompromi dengan PKR. PRU14 dalam konteks politik Kelantan sebenarnya adalah persaingan antara Umno, PAS dan AMANAH.

“Mereka (PKR) juga tidak boleh bergantung kepada kekuatan HARAPAN semata-mata, sebaliknya perlu ukur kemampuan sendiri,” katanya ketika dihubungi.

– M’kini

.