PKR BINCANG KES ADAM KE JAWATANKUASA DISIPLIN

Jawatankuasa Disiplin PKR akan membincangkan isu mengenai pemimpin pemudanya yang didakwa memberi kenyataan dan dokumen palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Perkara itu akan dibincangkan dalam jawatankuasa disiplin, ia adalah satu proses biasa,” kata Azmin kepada pemberita selepas menghadiri satu majlis di Ampang hari ini.

Beliau berkata adalah tidak adil bagi parti itu membuat kesimpulan kerana Adam baru didakwa semalam dan perbicaraan masih belum bermula.

“Seseorang tidak bersalah sehingga dia dibuktikan sebaliknya. Beliau perlu diberikan perbicaraan yang adil dan peluang untuk membela diri, “kata Azmin.

Adam, yang juga Ketua Pemuda PKR Ampang, didakwa memberi dua kenyataan palsu kepada dua pegawai penyiasat SPRM berhubung dakwaan kekayaan luar biasa beliau.

Antara lain, berhubung pekerjan dan pendapatannya sebagai ahli perniagaan, pembelian kereta mewah, pembelian banglo bernilai RM1.2 juta yang dibeli secara tunai di Kampung Melayu Ampang, pinjaman dari ibu mentua dan nenek sebanyak RM200,000 dan pinjaman dari ‘Ah Long’ sebanyak RM500,000.

Beliau juga didakwa menggunakan dokumen palsu dengan niat untuk memperdaya pegawai SPRM.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Jika sabit kesalahan, Adam Rosly boleh didenda tidak lebih RM3 juta, dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

‘Akta 355 pindaan perlu lebih holistik’

Mengenai isu berasingan, Azmin berkata, cadangan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) perlu lebih holistik, sebagaimana yang dikatakan oleh mantan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Azmin berkata demikian bagi menjawab respon PKR Sabah dan Sarawak terhadap pendirian Anwar yang mengatakan hak Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membentangkan pindaan Akta 355 harus dihormati.

“Apa yang dikatakan oleh Anwar adalah jelas, yang pada dasarnya kita perlu menyokong inisiatif untuk memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah, tetapi kita perlu melihat secara menyeluruh.

“Bukan sahaja dari segi hukuman tetapi seluruh infrastruktur dan prosiding mahkamah. Hakim-hakim mestilah cekap, infrastruktur mesti mengambil tempat, dana mencukupi perlu diberikan kepada institusi itu, “katanya.
Pindaan yang dicadangkan kepada Akta 355 bertujuan untuk meningkatkan hukuman maksimum yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah.

Ia dibentangkan pada hari terakhir sidang parlimen sebelum ini tetapi perbahasan rang undang-undang itu ditangguhkan oleh Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.