PKR BIMBANG KUASA LUAR GUNAKAN MALAYSIA

SHAH ALAM – PKR mengulangi desakan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Parlimen bagi bidang Pertahanan.

Ini kerana menurut Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, beberapa perkembangan membabitkan isu pertahanan negara kini dilihat semakin membimbangkan.

“Parlimen seharusnya menjadi medan membincangkan isu pertahanan negara yang menjadi keprihatinan semua Ahli Dewan Rakyat tanpa menjejaskan kesiapsagaan negara berdepan sebarang kemungkinan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nurul Izzah berkata demikian bagi mengulas mengenai  kes kehilangan radar berteknologi tinggi yang dilaporkan di muka hadapan akhbar berbahasa Inggeris baru-baru ini.

Mengulas lanjut berhubung isu itu, Nurul Izzah berkata, “walaupun peralatan terbabit sebenarnya sudah sampai ke destinasinya di Belanda, kami di pihak PKR amat bimbang apabila ada kuasa luar yang seolah-oleh mempergunakan Malaysia tujuan tertentu yang boleh menjejaskan keselamatan negara”.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk T Subromaniam dalam kenyataanya memaklumkan radar berkenaan sudah sampai ke destitasi sepatutnya iaitu Pelabuhan Rotterdam, Belanda dan siasatan yang dijalankan JKDM  menjurus kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalaman ketika melepaskan dagangan yang memerlukan permit di bawah akta Pemerdagangan Strategik 2010.

“Siasatan sedang dijalankan oleh JKDM sebenarnya menjurus kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalaman ketika melepaskan dagangan yang memerlukan permit di bawah Akta Perdagangan Strategik (STA) 2010,” katanya dalam kenyataan.

– SH

.