PKR BIDAS NAJIB TAK KUTUK TINDAKAN MAT OVER

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ditempelak kerana tidak bersuara mengutuk serangan yang berlaku di hadapannya semasa dialog Transformasi Nasional (TN50) di Seri Perdana, malam tadi.

“Serangan yang keterlaluan dan memalukan berlaku di hadapan Perdana Menteri.

“Ketika diserang, (penerbit filem, Datuk) David Teo memegang mikrofon dan hanya cuba bertanya soalan kepada PM.

“Adalah mengejutkan dan tidak boleh diterima bahawa perdana menteri Malaysia yang menyaksikan pada jarak dekat tindakan berupa jenayah keganasan tidak berkata apa-apa bagi mengutuk atau menolak serangan itu,” kata Ahli Parlimen Padang Serai dari PKR, N Surendran dalam kenyataan.

Teo ditampar oleh pelawak Sulaiman Yassin atau Mat Over ketika bertanya soalan kepada Najib yang berdiri di atas pentas.

Mat Over juga dilaporkan tidak berasa kesal atas tindakan beliau menampar Teo, malam tadi.
“SAYA tak rasa apa yang saya buat itu keterlaluan kerana tindakan berkenaan untuk mengajarnya cara beradab terutama di hadapan pemimpin yang menjadi tuan rumah pada acara ini.

“Saya juga tidak kesal dengan tindakan ini kerana sikap David tidak menghormati Perdana Menteri dan Rosyam selaku moderator. Sepatutnya sebagai rakyat Malaysia perlu ada adab dan hormat-menghormati,” kata Mat Over, memetik laporan Harian Metro.

– M’kini

.