PISTOL ITU TIDAK LAGI DI TANGAN DR MAHATHIR

Ada yang masih mempertikaikan, sehingga hari ini, keperluan untuk berkerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mereka terus menimbulkan isu pertentangan yang dahulu antara pembangkang dan Dr Mahathir semasa beliau masih perdana menteri.

Maka di atas sebab segala yang telah berlaku maka ada yang menganggap kerjasama dengan Dr Mahathir sebagai suatu pengkhianatan terhadap perjuangan yang dibawa sekian lama. Sedangkan kemenangan perlu sekiranya agenda perjuangan ini akan dapat terlaksana.

Kerjasama kontroversial

Saya tidak menafikan bahawa persoalan kerjasama ini merupakan sesuatu yang dianggap ‘kontroversial’.

Sehinggakan ada yang menganggap bahawa sekiranya kita menang sekalipun pilihan raya ke-14 ini dan layak ke Putrajaya, Dr Mahathir mengkhianati Pakatan Harapan dan kembali untuk membentuk kerajaan bersama Umno/BN. Oleh itu kerjasama dengan Dr Mahathir tidak bermakna!

Saya juga tidak menafikan bahawa pengkhianatan yang disebut-sebut itu merupakan satu kemungkinan, namun ia tetap sekadar hanya satu kemungkinan dan tidak lebih dari itu.

Akan tetapi, melalui kerjasama ini, paling kurang, harapan untuk berjaya adalah lebih tinggi! Sama ada pengkhianatan tersebut akan berlaku atau sebaliknya masih tidak tentu lagi tetapi yang boleh ditentukan ialah, tanpa kerjasama ini, harapan untuk menang juga berkurangan.

Hakikatnya undi Melayu yang menjadi masalah pakatan pembangkang selama ini. Walaupun bersama PAS, kita masih gagal mendapatkan jumlah undi Melayu yang diperlukan untuk menang, apatah lagi tanpa PAS!

Masalah undi Melayu

Ya benar, AMANAH menggantikan PAS. Tetapi tidak dapat dinafikan bahawa AMANAH tidak mungkin mampu membawa seluruh undi PAS kepadanya, dan melaluinya kepada HARAPAN.

Maka sudah pasti akan kurang daripada apa yang pernah diperolehi PAS dahulu kerana kali ini ia terbelah kepada dua, iaitu sebahagian kekal bersama PAS dan sebahagian lain bersama AMANAH.

Undi Melayu yang dibawa AMANAH tidak mungkin melebihi undi Melayu yang diperolehi PAS semasa PAS belum berpecah dua.

Melalui penyertaan BERSATU, undi Melayu yang dari blok yang menyokong Umno akan dibawa kepada Dr Mahathir. Ini bermakna HARAPAN akan menerima undi Melayu dari blok PAS melalui AMANAH dan dari blok Umno melalui BERSATU.

Jumlah ini dijangka akan lebih dari jumlah yang dibawa lari PAS.

Pada masa yang sama undi yang dibawa BERSATU adalah dari blok Umno. Ini bermakna sambil undi HARAPAN bertambah, undi Umno akan berkurangan.

Pada dasarnya, undi yang dibawa lari oleh PAS tidak akan menyebabkan undi Umno bertambah, sebaliknya kekal bersama PAS yang bertanding secara bersendirian. Ini akan menambahkan lagi potensi HARAPAN untuk menang.

Oleh itu apabila BERSATU bersama HARAPAN, maka potensi dan kemungkinan menang adalah satu realiti. Tidak mungkin menjadi realiti tanpa mereka.

Pada masa sama BERSATU juga tidak mungkin menang tanpa HARAPAN! Hanya persoalan yang timbul adalah apa yang akan berlaku selepas kemenangan tercapai?

Kebimbangan Mahathir khianati undi rakyat

Apa berlaku sekiranya menang? Tiada yang boleh menjawab soalan ini dengan pasti.

Namun saya merasakan tiada sebab BERSATU perlu kembali kepada Umno/BN sekiranya mereka melihat HARAPAN mempunyai potensi untuk menjadi sebuah kerajaan yang bersih dan cekap tanpa terkorbannya kedudukan orang Melayu yang menjadi asas perjuangan mereka.

Lebih-lebih lagi sekiranya jumlah kerusi yang dimenangi HARAPAN adalah begitu menyeluruh.

Sekiranya BERSATU dan Dr Mahathir tidak mengkhianati undi rakyat dan kekal bersama HARAPAN, maka akan timbul pula soalan kedua, iaitu sejauh mana BERSATU akan akur dengan pimpinan HARAPAN?

Tidakkah mungkin mereka akan ulangi cara kepimpinan lama seperti semasa Dr Mahathir adalah perdana menteri? Apakah perbezaan di antara BN dan HARAPAN jika membentuk kerajaan nanti?

Beza BN dan HARAPAN

Hakikatnya keadaan BERSATU dalam HARAPAN tidak sama seperti Umno dalam BN. Dalam BN, Umno sahaja parti Melayu.

Umno bertanding hampir semua kerusi majoriti Melayu. Jumlah kerusi yang ditandingi dan seterusnya dimenangi Umno menyebabkan parti itu boleh mendominasi BN.

Pada PRU ke-13, Umno memenangi 88 kerusi Parlimen kesemuanya. Ia lebih separuh daripada kerusi BN di Parlimen sekarang!

Dalam HARAPAN, bukan hanya BERSATU parti orang Melayu. Oleh itu kerusi majoriti Melayu akan dikongsi BERSATU bersama AMANAH dan PKR.

Dalam keadaan ini tidak mungkin BERSATU akan bertanding 100 lebih kerusi sepertimana dilakukan Umno. Oleh itu BERSATU tidak akan mampu bertindak sebagai ‘diktator’ dalam HARAPAN sepertimana Umno dalam BN.

Oleh itu tiada sebab perlunya ada takut dengan kemungkinan Dr Mahathir bertindak seperti dahulu. BERSATU dalam HARAPAN tidak seperti Umno dalam BN.

Terlalu banyak check and balance wujud dalam HARAPAN untuk membenarkan mana-mana parti mendominasinya. Ini termasuklah DAP.

Rampas pistol Najib

Pernah saya dengar satu perumpamaan dalam soal ini. Perumpamaannya adalah begini:

Dulu Dr Mahathir yang pegang pistol dan dia tembak ke arah kita. Maka kita lawan dia kerana pistol itu dipegangnya dan tembakannya menyulitkan kita. Sekarang yang memegang pistol tersebut dan menggunakannya untuk menembak kita adalah Najib.

Pistol itu tidak lagi di tangan Dr Mahathir. Maka tidak bermakna jika kita masih ingin berlawan dengan Dr Mahathir. Bukan dia yang menembak kita sekarang. Malahan dia turut sama ditembak dan ingin bersama merampas pistol tersebut dari Najib.

Hanya apabila kita bersama, Dr Mahathir berjaya merampas pistol tersebut dari Najib, kita perlu tentukan, siapa sahaja yang pegang pistol itu selepas ini, maka peluru-pelurunya semuanya disimpan rakan-rakan lain. Yang pegang pistol tiada peluru.

Kesimpulan

Sepertimana semua perkara dalam kehidupan ini, tiada yang terjamin atau pasti dalam perjuangan politik. Semua boleh berubah.

Risiko perlu diambil. Pengalaman semasa saya bersama dengan PAS adalah bukti kebenaran dakwaan ini.

Apabila Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih mesra dengan panggilan Ku Li menubuhkan S46, ada yang takut mengambil risiko. Tetapi akhirnya diusahakan. Maka walaupun Ku Li kemudiannya balik kepada Umno, namun PAS berjaya menang kembali Kelantan.

Begitu juga dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan gerakan reformasi. Ada juga yang membantah dan tidak setuju. Namun akhirnya terbukti ia mengukuhkan pembangkang dan juga PAS.

Tidak dinafikan ada juga yang berubah menjadi lebih teruk. Keadaan PAS sekarang ini sebagai bukti. Dahulunya begitu bencikan Umno. Sekarang dianggap pilihan kedua selepas PAS bagi rakyat jelata.

Dalam politik, kita mesti sanggup mengambil risiko. Tetapi risiko yang dikaji dan dipertimbang untung ruginya atau calculated risk. Tiada risiko maka tiada kemajuan.

Tidak sanggup mengambil risiko mengusahakan kemenangan melalui HARAPAN yang di dalamnya ada BERSATU dan Dr Mahathir, maka sudah hampir pasti kita akan terus menjadi pembangkang selepas PRU-14 ini.

Mungkin juga untuk selama-lamanya sehingga akan ada yang sanggup mengambil risiko apabila peluang itu terbuka.

KHALID SAMAD adalah anggota parlimen Shah Alam yang mewakili parti AMANAH.

– M’kini

.