PILIHANRAYA SEBELUM PUASA?

Bukanlah  sesuatu yang biasa bagi Najib Razak memberi penghargaan dan ucapan syabas kepada Ahli-Ahli Parlimen BN apabila sesuatu sessi Parlimen berakhir.
Lazimnya memang tiada ucapan khusus sebegitu diberikan setiap kali sidang berakhir, tambahan lagi memang  itu tugas utama Ahli-Ahli Parlimen selama ini.
Tetapi, melalui blognya lewat semalam, Najib memberi penghargaan khusus kepada Ahli-Ahli Parlimen BN yang dianggapnya komited bersidang selama 20 hari dengan menyaksikan 13 rang undang-undang dapat diluluskan.
Kata beliau, sessi Parlimen BN kali ini amat produktif dan bermakna kerana Ahli-Ahli Parlimen BN telah mendengar denyut nadi dan keperluan rakyat.
Saya ambil peluang ini untuk mengucapkan syabas kepada semua wakil rakyat BN kerana mendengar denyut nadi dan keperluan rakyat. Terus usaha, katanya.
Apakah makna ucapan penghargaan dan syabas Najib itu?
Adakah ini bermakna sessi Parlimen yang berakhir 6 April lalu adalah sidang yang terakhir dan dalam waktu yang terdekat ini Parlimen akan dibubarkan untuk membolehkan pilihanraya mengejut diadakan?
Tidak mustahil juga kata-kata Najib itu sebagai tanda terima kasih kepada Ahli Parlimen yang bakal dibersarakan dan tidak dipilih semula sebagai calon.
Jika pilihanraya diadakan, adakah ia akan berlangsung sebelum ketibaan bulan puasa?
Umat Islam dijangka akan menyambut Ramadan pada 26 Mei, iaitu kira-kira 45 hari daripada sekarang dan ia memang tempoh yang mencukupi  untuk diadakan pilihanraya secara mengejut memandangkan pengundian mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Parlimen dibubarkan.
Dalam keadaan parti-parti pembangkang  belum begitu bersedia dan Pas pula semakin melekat rapat bersama UMNO dan kerajaan serta pasti bertanding secara bersendirian setelah Akta 355 diberi laluan untuk dibentangkan baru-baru ini, mengadakan pilihanraya dengan segera barangkali antara pertimbangan utama dalam fikiran Najib.
Najib juga mungkin melihat  Akta 355 sebagai kelebihan buat UMNO untuk dijadikan modal pilihanraya memandangkan isu itu sedang hangat diperbualkan, malah “boleh diolah dan digoreng” lagi  untuk mempengaruhi lebih ramai pengundi-pengundi Melayu dan luar bandar terus memilih BN.
Selain selepas sambutan Hari Raya iaitu antara Jun hingga Julai,  Ogos hingga September iaitu sebaik berakhir temasya Sukan Sea 2017  atau selepas pembentangan Bajet 2018 yang dijangka Oktober, memilih tarikh pilihanraya sebelum puasa  mungkin juga menepati kehendak feng shui atau ramalan-ramalan yang lain yang dirasakan mampu membuahkan kejayaan buat Najib.
Di pihak Pakatan Harapan, meskipun kecenderungan dan kecondongan rakyat jelas memihak kepada perubahan, tetapi pilihanraya mengejut sebelum puasa akan membuatkan mereka terpaksa bekerja keras untuk menyelesaikan banyak perkara seperti pembahagian kerusi, pendaftaran gabungan pembangkang, penggunaan satu logo satu manifesto serta pelbagai isu yang lain lagi.
Lebih penting, pilihanraya mengejut juga dapat mengelakkan Najib daripada berdepan dengan isu 1MDB yang lebih kritikal apabila Amerika Syarikat dan Switzerland dijangka memulakan proses pendakwaan di mahkamah masing-masing dalam masa beberapa bulan akan datang.
Jadi, di samping ucapan penghargaan dan syabas Najib itu terlihat sedikit luar biasa dan boleh dijadikan sandaran untuk menunjukkan kerajaan BN dibawah pimpinannya  telah melaksanakan tanggungjawab dengan baik serta wajar dikekalkan lagi,  ada kebarangkalian lawatan beliau ke India baru-baru ini adalah kunjungan terakhirnya  ke luar negara yang penuh makna sebelum pilihanraya diadakan.
ShahbudinHusin