PILIHAN RAYA AKHIR TAHUN INI?

Bila Piraum ke 14 akan diadakan. Bila Najib akan menghadap Yang Dipertua Agong memohon untuk membubarkan parlimen? Orang berteka teki mengenai tarikh pilihan raya umum ke 14. Mereka yang jeluak dengan Najib sudah tidak sabar lagi untuk memangkah. Dalam kepala masing-masing sudah buat ketetapan siapa atau simbol mana yang mereka ingin pangkah kali ini.

Dr Mahathir Mohamad meramalkan Najib tidak berani untuk mengadakan pilihan raya pada tahun ini. Alasannya kerana pengaruh BN menurun, sementara pengaruh PH semakin meningkat. Beliau lantas meramalkan Najib akan mengadakan pilihan raya pada tahun hadapan.

Apakah tahun depan kedudukan BN lebih baik daripada hari ini? Tidakkah kedudukan BN di masa mendatang menjadi tambah buruk lagi yang menyebabkan Najib perlu merampas keadaan yang baik ini demi penerusan kekuasaanya?

Saya melihat ramalan Dr Mahathir itu sebagai memprovok Najib agar mengadakan pilihan raya pada tahun ini juga. Mungkin Dr Mahathir juga bimbang dengan permasalahan dalam PH, kalau tarikh pembubaran parlimen itu dilewatkan. Dr Mahathir juga tahu masalah dalam PH makin memberat sekiranya masa dilanjutkan lagi. PH seperti pasukan bola sepak yang sudah bertarung selama 90 minit tidak mahu kepada permainan masa tambahan.

Walaupun struktur PH sudah wujud di peringkat pusat dan negeri-negeri tetapi yang jelasnya PH masih belum bergerak secara menyeluruh. Masih ada cacat cela di mana-mana dalam PH. Inilah membimbangkan Dr Mahathir maka beliau tidak gemar kalau keadaan terus berlaku dan parlimen tidak dibubarkan. Makanya ramalan Dr Mahathir itu saya lihat sebagai provokasi semata-mata bukan sesuatu yang diharapkan. Dia juga mahu pilihan raya dipercepatkan.

Sebenarnya di pihak PH masih belum selesa sepenuhnya. Di lihat secara jujur (seimbang) BN lebih ke depan berbanding dengan PH dari segi persiapan. BN tidak ada masalah perpecahan dalaman, berbanding dengan PH masih belum lendik lagi. BN dan Najib sendiri sudah pun habis menjalajah Malaysia. Peluangnya memiliki semua saluran telivesyen dan radio memberi kelebihan kepadanya. Najib dan BN tidak perlu turun ke darat cukup melalui pacaran di alam maya sahaja.

Selain itu Najib perlu mengadakan segera pilihan raya dengan sikap dan pendirian diambil oleh Pas khasnya presidennya kini. Sikap Abdul Hadi Awang hari ini membantu Najib dan UBN. Jadi sikap ini perlu diguna sebaik mungkin. Najib tentu terfikir tidak mahu tali yang ditambat kepada Hadi akan terlucut menyebabkan mendatang masalah kepadanya.

Hari ini tambatannya kepada Hadi semakin kemas dan kejap.

Kalau Dr Mahathir meramalkan demikian, saya berbeza dengan beliau. Bagi saya pilihan raya umum mungkin diadakan pada tahun ini juga. Najib tidak akan membiarkan masa berlalu lama kerana keadaan itu boleh mendatangkan masalah kepada BN. Paling ditakuti itu, takut Abdul Hadi dan Pas terlepas dari berkasannya.

Masa ini terbaik buat BN. Perkara-perkara tidak diduga banyak di masa depan inilah yang mahu dielakkan oleh Najib. Sementara masa ini lenang baik untuk Najib adakan pilihan raya tahun ini juga.

BN sudah ada “good factor” sekarang ini. Kejayaan besar Malaysia dalam sukan SEA, Kuala Lumpur 2017 memberi modal buat BN. Orang meramalkan Bajet 2018 akan dijadikan bajet pilihan raya. Najib akan bentang Bajet pada Oktober depan dengan berbagai tawaran untuk rakyat. Najib akan penuhi apa sahaja kehendak rakyat dalam Bajet itu nanti walaupun ia mustahil dilaksanakan. Sehabis Bajet itulah masa terbaik beliau mengumumkan pembubaran parlimen.

Najib hanya menunggu dua event besar sahaja lagi yang bakal memberi markah di mata dunia sebelum mengumumkan parlimen dibubarkan. Mungkin ramai belum tahu, selepas Oktober hadapan akan berlangsung Persidangan Ulama Sedunia di Negara ini. Persidangan itu akan dihadiri oleh para ulama sedunia. Kemungkinan juga Yusuf Qardhawi akan hadir sama. Apabila Yusuf Qardhawi hadir, tentulah timbalannya peringkat Asia Tenggara, Abdul Hadi Awang akan hadir sama.

Persidangan itu akan digunakan Najib sepenuhnya bagi menyakinkan rakyat negara ini khasnya orang Melayu bahawa kerajaannya diikhtiraf oleh dunia Islam. Justeru mana-mana kumpulan atau parti yang hendak menumbangkan kerajaannya akan dianggap sebagai pengkhianat.

Persidangan itu dijangka akan merumuskan mengenai pentadbiran Malaysia sekarang ini sebagai sebuah pentadbiran Islam terbaik di dunia di abad ini. Prinsip Islam wasitiyyah pasti akan mendapat dokongan. Rumusan itu nanti akan digunakan Najib untuk menyakinkan rakyat khasnya orang Melayu supaya mengekalkan pemerintahan Umno. Difahamkan persiapan mengadakan persidangan berkenaan sedang rancak diatur.

Tidak mustahil juga suatu fatwa akan dikeluarkan dari persidangan itu yang meminta orang Islam di negara ini memberi sokongan kepada kerajaan yang ada hari ini. Sesiapa yang menentang kerajaan hari ini boleh dianggap sebagai pendurhaka.

Dalam masa sama juga, khabarnya Presiden Turki Recet Tayyip Erdogan juga akan mengunjungi ke negara ini dalam rangka merasmikan sebuah institusi pendidikan tajaan kerajaan Turki di sini. Khabarnya sebuah institusi pendidikan negara itu telah membuka pusat pengajian di sini dengan mengambil alih universiti milik Yayasan al Bukhary yang kampusnya terletak di Alor Star. Kampus itu akan bertukar nama menjadi Universiti Ibnu Khaldum?

Sudah tentu kedatangan Erdogan itu sangat disenangi Najib. Najib akan menyambut kedatangan itu secara tidak langsung akan digunakan untuk menunjukkan Erdogan senang dengan kerjaannya. Najib akan menjaja dan menjual bahawa kerajaan UBN turut sama disokong oleh Erdogan dengan menjadikan pembukaan institusi pengajian Turki, Universiti Ibnu Khaldum itu di sini sebagai bukti.

Selain itu Raja Arab Saudi juga dikatakan akan mengunjungi negara ini sekali lagi. Kunjungan Raja Salman itu juga dikira ada kena mengena dengan iklim pilihan raya umum negara ini. Mungkin sekali kunjungan Raja Salaman kali kedua itu sebelum parlimen dibubarkan.

Adalah diramalkan selepas selesai dua evant itu dan juga kunjungan Raja Salman parlimen akan dibubarkan dan pilihan raya akan diadakan pada tahun ini juga, paling cepat November dan paling akhir Disember.

– http://msomelayu.blogspot.my

.