PILIH MAHATHIR PM BUKTI BN TIDAK BERMASALAH

KUALA LUMPUR – Keputusan Pakatan Harapan memilih Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri membuktikan pembangkang mengakui pemerintahan BN selama ini  tidak mempunyai masalah sebagaimana kerap didakwa  mereka, menurut penganalisis politik.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) Md Shukri Shuib berkata, keputusan itu turut membuktikan bahawa pihak pembangkang adalah ‘raja drama’ dan isu-isu yang ditimbulkan sewaktu Mahathir menjadi perdana menteri hanya direka untuk memperoleh undi rakyat.

“Kalau pada era Dr Mahathir, beribu isu mereka boleh timbulkan, dan hari ini dia mereka angkat jadi calon perdana menteri, saya percaya isu-isu yang mereka timbulkan ke atas (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak juga hanya sandiwara, dan akan hilang sekiranya Najib memihak kepada mereka, ” katanya kepada Bernama.

 Beliau mengulas pengumuman Pakatan Harapan semalam yang memutuskan Mahathir yang merupakan pengerusi  Bersatu sebagai calon perdana menteri dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalan perdana menteri jika pembangkang memenangi PRU14.

Md Shukri menyifatkan pembangkang sebagai ”neo-Zimbabwe” atau “neo-Mugabelism” kerana menamakan bekas perdana menteri paling lama memerintah Malaysia itu sebagai perdana menteri sekali lagi di usianya menjangkau 90-an.

“Di Zimbabwe mereka tolak presidennya Robert Mugabe kerana faktor usia dan kurangnya kepekaannya  terhadap perubahan semasa. Kini seolah-olah Malaysia mahu pergi ke arah negara mereka pula. Tak akan mereka tak ada calon lebih muda untuk ditampilkan sebagai perdana menteri?,” soalnya.

Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek berkata pembangkang berdepan situasi bahaya apabila memutuskan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri mereka.

“Pakatan sepatutnya sedar tujuan Dr Mahathir bergabung dengan pembangkang… sekarang dia setuju Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalan perdana menteri.

“Tapi itu cerita dan janji sekarang… dia belum jadi perdana menteri lagi dia setujulah dengan semua syarat. Sebaik sahaja Dr Mahathir berkuasa nanti Pakatan itu sendiri yang mula-mula dihancurkan,” katanya.

Abdul Halim berkata perjanjian untuk menaikkan Ketua Umum Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara sebagai calon perdana menteri ke-8 juga merupakan bayangan yang samar dan sukar direalisasikan.

“Perlu  ingat… sebaik sahaja Dr Mahathir memerintah negara dia boleh lantik sesiapa sahaja yang dia mahu, tiada siapa mampu menghalangnya. Selama 22 tahun dia jadi perdana menteri, dia memang penuh dengan helah licik,” katanya.

Menurutnya keadaan Pakatan Harapan ketika ini adalah goyah dan kucar kacir walaupun mereka kelihatan ‘sepakat’ tetapi hakikatnya mereka hanya terpaksa duduk bersama-sama.

“Kesepakatan yang mereka tunjukkan ketika ini hanyalah syarat… mereka mesyuarat ini pun bukan bukti mereka bersatu tetapi untuk penuhi syarat ROS kalau tidak masing-masing dalam pakatan itu tidak boleh bertanding,” katanya.

Sementara itu, jurucakap publisiti MCA Datuk Seri Ti Lian Ker menyifatkan pengumuman itu sebagai pengkhianatan nyata DAP terhadap ahli dan penyokongnya.

Katanya DAP mungkin sengaja memilih untuk melupakan prinsip dan janji yang dibuat kepada rakyat khususnya komuniti Cina akibat  ketamakan mereka untuk berkuasa dan menguasai Putrajaya, tetapi mereka tidak sepatutnya melayani penyokong dan mereka yang bersimpati dengannya seperti ‘mayat hidup politik”.

Ti berkata pemimpin DAP sebelum ini mendakwa Mahathir telah mengkhianati dan memperdayakan masyarakat Cina dengan menyetujui tuntutan SUQIU (Jawatankuasa Rayuan Pilihan Raya  Persatuan-Persatuan  Cina Malaysia) bagi Keharmonian Nasional sebelum pilihan raya umum 1999 dan selepas beliau menang, beliau berpaling tadah dan mengecap mereka yang mendesak dan menyokong SUQIU sebagai komunis, ekstremis dan tidak tahu berterima kasih.

Senada dengan pandangan Ti, Ketua Pemuda MIC Datuk Sivaraajh Chandran berpendapat  kembalinya  Dr Mahathir sebagai perdana menteri pastinya merupakan berita buruk buat kaum India kerana mereka yang paling terjejas oleh dasar-dasar berasaskan kaum yang diamalkan Dr Mahathir semasa menjadi perdana menteri.

Sivaraajh berkata kaum India perlu ingat bahawa dasar-dasar ditetapkan oleh Dr Mahathir semasa mentadbir negara selama 22 tahun telah secara beransur-ansur menghakis  hak kaum India dalam perkongsian ekonomi negara ini.

“Beliau  berjanji untuk lakukan lebih baik kali ini, tetapi jika beliau gagal menjamin bantuan dan peruntukan sampai kepada kaum India sedangkan ketika itu parti kaum India sebahagian komponen BN diterajuinya, bagaimana beliau dapat melakukannya apabila menerajui barisan Pakatan  Harapan yang tidak mempunyai satu parti pun yang mewakili kepentingan kaum India,” tegasnya.

– Bernama

.