PILIH ANWAR PERJUDIKAN NASIB NEGARA

KUALA LUMPUR  –Pakatan pembangkang yang diketuai DAP sanggup memperjudikan nasib negara apabila tetap memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri jika menang pilihan raya umum akan datang.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, perancangan Penasihat DAP, Lim Kit Siang mahu memberi laluan kepada Anwar secara tidak langsung menidakkan keupayaan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Pembangkang lebih gemar bermain spekulasi sehingga sanggup mengubah prinsip demi menang pilihan raya umum akan datang.

“Pengesahan Kit Siang mencerminkan bahawa pihak pembangkang tidak boleh membariskan pemimpin mereka selain mempergunakan Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Muhyiddin selaku pemangku Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri jika pembangkang menang pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Kit Siang baru-baru ini bahawa Wan Azizah akan memangku jawatan Perdana Menteri sehingga suaminya, Anwar dibebaskan dari penjara setelah pakatan harapan mencapai kata sepakat sekiranya mereka berjaya menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menurut Irmohizam, rakyat akan dipermainkan dengan mudah apabila kerusi Parlimen yang dimenangi pakatan pembangkang akan dilepaskan kepada Anwar.

Jelasnya, secara moral hasrat rakyat yang menagih suara untuk dibawa ke Parlimen bukanlah sesuatu yang boleh dipertaruhkan.

“Inilah amalan pembangkang yang tekad mempermainkan institusi perdana menteri demi menaikkan orang yang dikehendaki.

“Kita tidak mahu Malaysia diancam dan dikecam malah mungkin ditertawakan dengan melantik pemangku perdana menteri dan pemangku timbalan perdana menteri. Idea ini juga tidak dinyatakan dalam teras Perlembagaan,” jelasnya.

Tambah beliau, adalah mustahil untuk pakatan harapan menjalinkan kerjasama kerana perbezaan ideologi mereka yang sangat besar sudah pasti hanya inginkan populariti.
– UTUSAN

.