PIHAK BERKUASA TAK PATUT ‘KACAU’ SITI HASMAH, KATA KU LI

Tokoh veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah berkata pihak berkuasa tidak sepatutnya mensasarkan Tun Siti Hasmah Mohamad Ali.

Anggota Parlimen Gua Musang itu mengulas tindakan polis yang menyiasat dan merakam keterangan isteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu berhubung ucapannya pada himpunan ‘Wanita Bantah Politik Toksik’di Kuala Lumpur, 10 September lalu.

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai “salah” dan hanya memburukkan imej kerajaan.

Katanya lagi, kerajaan seharusnya hanya menumpukan perhatian kepada Mahathir, selaku pesaing utama menjelang pilihan raya umum ke-14.

“Mengapa tidak pergi dan tahan Mahathir saja? Tidak berbaloi untuk pihak berkuasa bertindak kasar…dan malah terhadap Siti Hasmah.

“Saya tidak rasakan ia tindakan yang betul…Ia hanya menambahkan lagi cerita tidak baik dan merugikan parti pemerintah, dan itu bagi saya tidak memberi manfaat kepada sesiapa,” katanya pada sidang media selepas program forum bertajuk “Reformasi untuk Malaysia yang Progresif, anjuran G25 di Shah Alam, hari ini.

image: https://i.malaysiakini.com/1209/3af439f9fbac9667e20fdc6482cf25a2.jpeg

Ekoran penglibatan Siti Hasmah dalam himpunan itu, beliau disiasat mengikut Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman.

Tengku Razaleigh yang mesra dipanggil Ku Li juga mengulas tentang kebarangkalian untuk Mahathir kembali berkuasa, selepas beliau diumumkan sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan (HARAPAN).

Beliau meramalkan pelbagai cabaran yang akan dihadapi pemimpin berusia 92 tahun itu untuk sekali lagi memimpin negara.

Beliau berkata, pada masa ini HARAPAN mungkin setuju untuk memilihnya jika mereka berjaya menumbangkan BN pada PRU akan datang, tetapi keadaan mungkin berbeza jika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hanya memenangi sedikit kerusi.

“Ada empat parti (dalam HARAPAN) dan jika parti Mahathir menang paling banyak kerusi, mereka akan berpeluang untuk mencalonkan pemimpin mereka, iaitu Mahathir.

“Tetapi jika mereka hanya menang dua atau empat kerusi? kemungkinan besar beliau tidak akan mendapat sokongan,” katanya.

Adakah Dr M akan benar-benar berubah?

Ketika era pentadbirannya, pengkritik sering menyifatkannya sebagai diktator dan menggelarnya “Mahafiraun”.

Sepanjang tempoh itu, negara antara lain menyaksikan penahanan ahli politik dan aktivis dalam Operasi Lalang 1987, krisis perlembagaan dan kehakiman 1988 yang membawa kepada pemecatan Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas, serta pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada kedudukan timbalan perdana menteri pada 1998 yang mencetuskan gerakan Reformasi.

Ketika ditanya sama ada kembalinya Mahathir mentadbir negara akan memberikan kesan negatif kepada kebebasan bersuara dan badan kehakiman, Ku Li berkata sukar untuk meramalkannya.

Namun, beliau berkata Mahathir sudah mempunyai rekod sepanjang 22 tahun mentadbir negara.

“Sepanjang 22 tahun itu beliau telah tunjukkan wajahnya. Usianya akan masuk 9 tahun, adakah beliau akan berubah? Ini persoalan besar bagi sesetengah pihak.

“Mungkin beliau akan berubah, dengan dipandu oleh pemimpin daripada parti (HARAPAN) yang lain,” katanya lagi.

– M’kini

.