Pihak berkuasa Switzerland kesal Thai enggan ekstradisi Justo

Pihak berkuasa Switzerland kesal dengan keputusan Thailand untuk tidak mengekstradisi rakyatnya yang juga adalah bekas pegawai PetroSaudi International, Xavier Andre Justo.

“Jabatan Persekutuan Luar Negeri (FDFA) Switzerland ambil maklum dan kesal dengan keputusan pihak berkuasa Thai yang bertanggungjawab berhubung permohonan pemindahan itu.

“FDFA memberi keutamaan utama kepada keselamatan dan integriti warga Switzerland dan akan terus memantau kes ini dengan teliti dan aktif,” kata jabatan itu, seperti dilaporkan oleh The Malay Mail Online semalam.

Walau bagaimanapun, mereka juga berkata mereka masih belum secara rasmi dimaklumkan mengenai penolakan peermohonan ektradisi daripada pihak berkuasa Thailand.

Menurut jabatan berkenaan mereka telah melakukan segala usaha untuk berunding dengan pihak berkuasa Thailand dan juga menyatakan bantahan terhadap tindakan Thailand baru-baru ini.

“FDFA mengambil langkah-langkah di pelbagai peringkat sebelum keputusan itu,” kata mereka.

Sebelum ini, Menteri Keadilan Thailand, Jeneral Paiboon Koomchaya berkata keputusan mereka mengenai Justo dibuat “mengikut undang-undang Thai”.

Beliau juga berkata bahawa mengikut undang-undang negara itu, sesiapa yang memohon untuk memindahkan baki hukuman penjara mesti mempunyai baki “tidak kurang daripada satu tahun” dalam hukuman penjaranya.

“Undang-undang tidak mendiskriminasikan sesiapa, dan dikuatkuasakan ke atas setiap banduan yang layak untuk dipindahkan. Keputusan Jabatan Penjara adalah selaras dengan kedaulatan undang-undang,” katanya.

Justo mengaku bersalah pada 17 Ogos tahun lalu atas tuduhan memeras ugut PetroSaudi International, yang mempunyai urusan dengan 1MDB.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula pada 22 Jun, tarikh Justo ditahan di pulau peranginan Koh Samui di selatan Thailand.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan Thai yang membawa hukuman penjara satu hingga 10 tahun dan denda antara 2,000 baht (RM222) dan 20,000 baht (RM2,223). – m’kini

.