PH BELUM BUAT KEPUTUSAN UNTUK SERTAI PERHIMPUNAN

PAKATAN Harapan belum buat keputusan untuk menyertai perhimpunan solidariti anjuran Umno bagi membantah isu Baitulmaqdis di Putrajaya minggu depan, kata pengerusinya Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, PH mahu memastikan terlebih dahulu apakah perhimpunan yang dirancang diadakan di Masjid Putra di Putrajaya, Jumaat depan itu sebenarnya untuk Umno atau untuk rakyat Palestin.

“Kita akan lihat sama ada ia hanya untuk Umno atau ianya ikhlas untuk rakyat Palestin,” kata beliau kepada wartawan selepas himpunan solidariti Baitulmaqdis anjuran PH di hadapan kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan satu perhimpunan besar-besaran akan diadakan di Masjid Putra jumaat depan bagi membantah tindakan Presiden AS Donald Trump yang mahu mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Demonstrasi di kedutaan AS hari ini dihadiri kira-kira 400 orang, kurang daripada protes pertama anjuran PAS di tempat sama minggu lalu.

Dalam ucapannya, Mahathir yang menerajui Malaysia selama 22 tahun turut membidas Trump dan menganggap beliau sebagai “pembuli” orang lemah.

“Kalau di sekolah ada orang buli dan pukul anak yang lemah kita berasa marah terhadap pembuli itu. Hari ini satu buli bertaraf antarabangsa.

“Tapi dia (Trump) tidak berani buli yang lemah. Saya minta dia ambil tindakan kepada China, tak ada.

“Orang yang tak boleh balas baru dia ambil tindakan.

“Jangan cari orang yang lemah. Sebabkan perasaan marah terhadap orang Islam.

“Ini semua disebabkan perasaan marah kepada orang Islam. Orang Islam ini tidak ada tentera dan kekuatan pada mereka kerana ramai lagi akan marah.
Tindakan ganas boleh berlaku. Mereka sanggup mati demi Palestin,” kata beliau mengulas kekecohan berlaku sejak pegumuman Trump itu yang telah mengorbankan beberapa rakyat Palestin.

Mahathir turut menyindir Perdana Menteri Najib Razak yang memaparkan diri sebagai “kawan baik” Trump kerana tidak menasihati beliau.

Beliau mengimbas kembali pertemuan Trump dan Najib September lalu di Washington di mana perdana menteri mengumumkan pelaburan berbilion dolar daripada kerajaan Malaysia untuk ekonomi AS.

“Siapa yang berkawan dengan Trump maka kelakuan macam Trump jugalah. Inilah yang kita lihat. Jadi kalau dah kawan baik dengan Trump main golf dengan Trump, cakaplah pada Trump, ‘Hey Donald stop this dont bully people.’ (Hey Donald. Hentikan, jangan membuli orang.’)

“Itulah yang patut dibuat tetapi kalau cakap bukan main,” kata beliau.

Sementara itu Presiden Bersatu Malaysia Muhyiddin Yassin mula meminta kerajaan dengan tegas dengan memutuskan hubungan dagang bersama AS.

“Marilah kita berdoa Baitulmaqdis dibebaskan. Kerajaan Malaysia mesti bertindak lebih tegas daripada ini.

“Kita mesti menuntut kerajaan tarik balik pelaburan di Amerika. Ini bukan soal politik. Ini soal keadilan dan hak asasi manusia,” kata beliau.

Pemimpin PH lain yang turut dilihat hadir adalah Presiden PKR Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Pengarah Pendidikan DAP, Liew Chin Tong.

Beberapa NGO seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Ikram, Bersih 2.0 serta Viva Palestin turut hadir.

Himpunan yang bermula jam 2.30 itu tamat kira-kira sejam selepas itu tanpa sebarang insiden.

– https://www.themalaysianinsight.com

.