PETUNJUK BILA PRU14 AKAN DIADAKAN

KES Selangor terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkenaan persempadanan baharu pilihan raya adalah petunjuk bila Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan diadakan dan tempoh itu bergantung pada peringkat akhir kes tersebut.

Ada dua senario yang akan berlaku dan kedua-duanya bergantung atas apa yang akan diputuskan oleh kerajaan negeri Selangor.

Mahkamah Rayuan pada Isnin memutuskan SPR boleh meneruskan peringkat akhir usaha menetapkan sempadan kawasan pilihan raya yang dimulakan pada 2016.

Pemimpin Pakatan Harapan (PH) menuduh Barisan Nasional (BN) memperalatkan tugas SPR melukis semula kawasan pilihan raya   itu, yang juga dikenali sebagai persempadanan.

Mereka mendakwa cadangan persempadanan semula itu tidak adil dan akan mewujudkan lebih banyak kawasan Parlimen majoriti Melayu, yang berpecah dari segi etnik.

Ahli Parlimen PH Dr Ong Kian Ming mendakwa cadangan persempadanan semula SPR itu bertujuan memberi kelebihan kepada BN dalam usaha parti pemerintah itu menawan semula Selangor pada PRU14.

PH cuba menangguhkan proses itu dengan mengemukakan saman terhadap SPR melalui kerajaan negeri Selangor yang diterajui oleh parti-parti PH.

Keputusan mahkamah pada Isnin itu satu kekalahan pada PH. Sekiranya Selangor tidak memajukan kes itu ke Mahkamah Persekutuan, SPR boleh mengemukakan laporan persempadanan semula tersebut kepada Perdana Menteri Najib Razak.

Najib kemudian akan membentangkannya di Dewan Rakyat yang sedang bersidang sehingga 30 November ini.

Persempadanan semula hanya memerlukan majoriti mudah 111 ahli Parlimen untuk diluluskan, kata pengkaji politik, Dr Wong Chin Huat.

BN mempunyai 132 ahli di Dewan Rakyat.

Menurut Jadual 13 Perlembagaan Persekutuan, apabila cadangan itu diluluskan di Dewan Rakyat, ia perlu diperkenankan oleh Yang Di Pertuan Agong – proses yang lazimnya mengambil masa tidak sampai seminggu.

Apabila perkenan diperoleh, persempadanan semula itu boleh digunakan pada PRU14. BN boleh mengadakan pilihan raya pada bila-bila masa selepas awal Disember.

Dalam senario kedua, PH melalui kerajaan negeri Selangor mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.

The Malaysian Insight difahamkan kerajaan negeri Selangor sedang menimbang untuk memilih jalan ini.

Apabila Selangor memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan, ia boleh sekali lagi menangguhkan kerja SPR dan suruhanjaya itu perlu menunggu keputusan mahkamah sebelum boleh meneruskan proses persempadanan semula.

Kes di Mahkamah Persekutuan lazimnya mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hingga empat bulan, kata seorang peguam perlembagaan yang mahir dengan proses di mahkamah itu.

Sebagai ketua BN, Najib tidak akan dapat mengemukakan persempadanan yang baharu pada persidangan Dewan Rakyat sekarang.

Seandainya Mahkamah Persekutuan memberikan keputusan yang memihak kepada SPR pada tahun depan, PH tidak lagi ada ruang untuk menangguhkan proses persempadanan semula itu.

SPR kemudiannya nanti boleh menyerahkan dokumen persempadanan semula kepada Najib yang boleh membentangkannya di Dewan Rakyat pada persidangan Mac hingga April nanti.

Proses persempadanan semula ini tidak semestinya menguntungkan BN, kata Wong dari Institut Pulau Pinang.

“Persempadanan semula boleh menjadikan keadaan lebih bergolak. Sekiranya ada sedikit saja perubahan sentimen, BN boleh menang besar atau boleh juga kalah besar.”

Ini tergambar pada PRU 2008, undi Umno merosot 30% tetapi ia hilang 70% kerusinya.

“Jadi dengan persempadanan semula BN mempertaruhkan harapan untuk dapat semula majoriti dua pertiga di Parlimen, sekiranya ia bernasib baik. Sekiranya tidak, dan sekiranya pembangkang bersatu, ia boleh hilang kuasa.”

– https://www.themalaysianinsight.com/

.