PETISYEN DALAM TALIAN DESAK HENTI TINDAKAN KERAS TERHADAP INTELEKTUAL ISLAM

BERIKUTAN pengharaman Putrajaya ke atas buku-buku yang ditulis intelektual Islam baru-baru ini, satu petisyen dalam talian telah dilancarkan di laman web charge.org bagi mengutip tandatangan melawan “tindakan keras” itu.

Petisyen yang diberi nama “Stop Crackdown on Intellectuals in Malaysia! (Hentikan Tindakan Keras ke atas Intelektual di Malaysia!)” dimulakan oleh Teoh Beng Hock Trust for Democracy itu sudah mengumpul sebanyak 865 tandatangan. Ia mensasarkan 1,000 tandatangan sebelum dihantar ke Putrajaya.

Dilancarkan semalam, petisyen itu membawa satu kenyataan bersama yang dibuat oleh sekumpulan organisasi masyarakat di Malaysia, yang mana ia diselaraskan oleh Teoh Beng Hock Trust for Democracy.

Kenyataan itu menuntut Putrajaya serta semua pihak berkuasa negeri berkaitan menghentikan “semua gangguan, siasatan dan tuduhan terhadap Pengarah Islamic Renaissance Front (IRF) Dr Farouk Musa dan semua tetamu intelektual mereka sebelum ini, dan akan datang.

“Kami, individu-ndividu bertandatangan di bawah ini, menyatakan kebimbangan dan bantahan terkuat kami kepada rangkaian tindakan keras ke atas para intelektual dari 25 September hingga 3 Oktober.

“Ini termasuk penangkapan penulis Turki Mustafa Akyol, gangguan dan penganiayaan terhadap Dr Farouk Musa serta pengharaman 22 buku, termasuk tulisan syarahan Mustafa, Dr Farouk, Faisal Tehrani dan Ustaz Wan Ji Wan Hussin.

“Tindakan yang dibuat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) terhadap Mustafa kerana didakwa melakukan kesalahan sedemikian sebelum forum di Universiti Nottigham Malaysia dibatalkan, serta terhadap Dr Farouk kerana didakwa bersubahat dengan Mustafa, telah mewujudkan satu duluan yang berbahaya dengan implikasi meluas kepada kebebasan akademik, dan sudah tentu, kebebasan bersuara di Malaysia,” kata kenyataan itu.

Menteri Dalam Negeri baru-baru ini telah mengarahkan larangan ke atas buku-buku IRF termasuk ‘Wacana Pemikiran Reformis (Jilid I) dan ‘Wacana Pemikiran Reformis (Jilid II).

Farouk yang juga baru-baru ini disoal-siasat pihak berkuasa agama berkaitan sebuah forum yang menjemput Mustafa pada bulan lepas.

Mustafa ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semasa dalam perjalanan keluar dari Malaysia, dihantar ke ibu pejabat Jawi di Kuala Lumpur untuk disoal siasat sebelum dibebaskan 18 jam kemudian.

Buku Mustafa bertajuk “Islam Without Extremes: A Muslim Case for Liberty dan terjemahannya ke dalam Bahasa Melayu, Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah Untuk Kebebasan yang diterbitkan oleh Islamic Reinassance Front (IRF) juga diharamkan.

Kerajaan berkata buku-buku tersebut bertentangan dengan norma kehidupan masyarakat di Malaysia.

Petisyen itu juga menuntut pengharaman ke atas buku-buku itu, juga buku-buku lain yang menggalakkan wacanana intelektual dan kesederhanaan ditarik balik.

“Adakah wacana intelektual di universiti-universiti melibatkan Islam sekarang dikawal jabatan agama Islam negeri? Adakah universiti perlu mendapat kebenaran dari jabatan agama sebelum menjemput mana penceramah berkenaan sebarang topik berkaitan Islam?

“Adakah idea-idea seperti kesederhanaan, pembaharuan dan kebebasan sekarang musuh negara?

Petisyen itu juga menuntut Putrajaya menghormati Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan kebebasan bersuara dan menamatkan semua kawalan pemikiran terhadap akademik dan ahli akademik.

“Tindakan keras terhadap para intelektual selama dua minggu ini bukan perkara terpencil tetapi semakin serius dan merbahaya dalam proses kawalan pemikiran yang berterusan untuk menutup minda rakyat Malaysia, terutamanya umat Islam.

“Kalau kita tidak bersuara bagi pihak Mustafa, Farouk , Faisal, Wan Ji dan lain-lain yang mahu ‘dibisukan’ kerajaan, maka tidak lama lagi tiada sesiapa yang akan bersuara untuk kita apabila kita dibisukan.”

Ramai yang menandatangani petisyen itu meninggalkan komen mengenai pandangan yang sama.

Ai Huck Loke dari Subang Jaya berkata:” Agama adalah peribadi, perbincangan membawa pencerahan.”

Amir Afendras dari Portugal berkata pengharaman buku adalah “satu lagi langkah mundur yang memalukan dari kerajaan Malaysia.”

“Biarkan minda orang Islam di Malaysia terbuka kepada dialog, pengetahuan dan pendapat daripada sentiasa cuba menutup dan mengawalnya,” komennya.

Teoh Lye Hin menulis: “Saya sangat yakin pemikiran kita tak boleh disekat. Kita harus diberi hak kepada pernyataan sendiri dan pilihan selagi tindakan kita tidak melanggar hak orang lain serta menganggu masyarakat umum.”

Aktivis terkenal Azrul Mohd Khatib yang bercakap bagi pihak Mustafa, menggambarkan pandangan penulis itu “bijak, jelas, progresif, moden dan berani”.

“Mereka paksa orang Islam untuk berfikir, mencermin dan menganalisis. Semuanya cukup untuk membuatkan dia dibenci dan dicerca oleh komuniti agama yang konservatif dan berfikiran sempit di negara ini.

“Mereka tidak mahu orang Islam yang berfikir, hanya patuh, akur dan tidak membantah. Tandatangan petisyen ini!” katanya.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.