PESTA ARAK BETTER BEER FESTIVAL DIHARAMKAN

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan penganjuran pesta arak Better Beer Festival 2017 yang dirancang pada 6 dan 7 Oktober depan di ibu negara.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL Khalid Zakaria berkata DBKL menolak permohonan yang yang diterima pada 28 Ogos lalu, laporĀ Sinar Harian, yang memetik satu kenyataan.

“Permohonan aktiviti itu pada tempat, masa dan tarikh yang dinyatakan adalah tidak diluluskan.

“Sekiranya penganjur meneruskan aktiviti tersebut, DBKL berhak mengambil tindakan bawah peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

Laporan itu tidak menyatakan sebab acara itu tidak diluluskan.

Better Beer Festival adalah acara untuk merasai produk pengeluar bir bebas. Penganjuran masuk tahun keenam pada tahun ini.

Ia dianjurkan oleh pengedar bir MyBeer (M) Sdn Bhd.

Penganjurannya dibantah oleh PAS, antaranya tiada jaminan ia tidak disertai orang Islam dan didakwa bakal mengundang masalah sosial.

– M’kini

.