PESIMISME PUNCA BELIA CINA TAK KELUAR MENGUNDI PADA PRU14

TIDAK semangat dan pesimistik.

Begitulah bagaimana belia Cina di Malaysia yang lebih sedar tentang perkembangan politik negara, menggambarkan mood rakan sebaya mereka yang lain, menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang perlu diadakan sebelum Ogos tahun depan.

Chin Ching Xuan, 29, seorang pegawai pentadbiran dari Johor Bahru berkata dia akan mengundi pada PRU akan datang tetapi baginya ahli politik kedua-dua belah tidak menarik, berbanding 2013.

“Jujurnya, saya belum buat keputusan siapa saya akan undi. Sedikit sangat (ahli politik) yang benar-benar ikhlas buat untuk rakyat.

“Kebanyakannya hanya mahu kuasa, status atau wang tetapi janganlah melampau sangat,” kata Chin, pengundi di Tebrau, secara tradisinya kubu kuat BN yang pada masa ini dipegang oleh MCA menerusi Khoo Soo Seang.

“Tidak kisah siapa pun diletak jadi calon di Tebrau, BN mungkin akan masih menang di sini,” katanya.

Lim Pau Hau, 23, pelajar di Universiti Utara Malaysia (UUM) yang akan mengundi buat kali pertama pada PRU14, memberitahu The Malaysian Insight bahawa dia berbeza berbanding rakan sebayanya yang lain.

“Saya sudah pasti akan mengundi tetapi kebanyakan rakan sebaya lebih risau tentang prospek kerjaya dan wang, sama ada mereka dapat bertahan dengan elaun RM500 atau kurang ketika latihan amali, dan gaji permulaan selepas tamat pelajaran.

“Kebanyakannya tidak peduli sangat tentang politik dan parti politik, BN atau PKR, DAP, PAS atau sama ada Dr Mahathir Mohamad kini satu kem dengan Lim Kit Siang (DAP) atau tidak.

“Mereka tahu nama parti itu tetapi tidak tahu bagaimana membezakan antara Adun dengan ahli Parlimen,” katanya yang berasal dari Labis, Johor itu.

Lim menyalahkan sikap acuh tidak acuh politik tentang kurangnya pendidikan sivik berkualiti di Malaysia.

Katanya, pendedahan politiknya diperoleh daripada bapanya, yang juga ahli MCA, Pengajian am Tingkatan 6, politik kampus di UUM dan memantau PRU 2013 di Labis.

Labis, kubu kuat BN dimenangi calon MCA, Chua Tee Yong dengan majoriti 353 undi pada 2013.

Labis, Segamat, Kluang dan Tanjung Malim antara kerusi marginal dan secara tradisinya dipegang BN di mana lebih sedikit daripada 60% pengundi Cina mengundi pembangkang pada 2008.

Sokongan meningkat antara 80% dan 90% pada 2013, kata pengurus kaji selidik Merdeka Center untuk kaji selidik pendapat, Tan Seng Keat.

Cina Malaysia menyumbang kepada lebih separuh undi popular yang dimenangi Pakatan Rakyat pada 2013 dengan 50.21% atau 2.92 juta undi.

Pakatan Rakyat (PR) ketika itu terdiri daripada DAP, PKR dan PAS – menang 52% daripada 11 juta undi pada 2013, tetapi memperoleh hanya 89 daripada 222 kerusi persekutuan.

Ini disebabkan struktur kerusi yang tidak seimbang dan sistem mengundi yang kali pertama diperkenalkan di Malaysia.

Sehubungan itu, Tan berkata penurunan jumlah pengundi keluar mengundi antara 10% dan 15% dalam kalangan pengundi Cina, susulan prospek mengubah kerajaan persekutuan yang rendah, dan letih dengan politik, mungkin boleh menjejaskan peluang pembangkang pada PRU14.

Secara khususnya, Tan berkata pengundi dalam kalangan golongan muda Cina mungkin sangat rendah.

Katanya, 300,000 pengundi baharu berdaftar ketika menjelang 2013 dan belia Cina sangat teruja tentang perubahan yang mungkin boleh berlaku dalam kerajaan persekutuan.

Keterujaan itu tamat selepas PRU 2013 dan tidak nampak ia bangkit kembali menjelang PRU14.

“Belia Cina semakin kurang dipolitikkan. Mereka lebih kritikal terhadap BN tetapi pada masa sama tidak rasa semangat oleh tokoh pembangkang, tidak seperti PRU sebelum ini.

“Sesetengah antara mereka mungkin merosakkan undi atau tidak keluar mengundi langsung.

“Mereka yang kerja atau belajar di luar kawasan atau luar negara mungkin tidak akan pulang mengundi, tidak seperti 2013,” kata Tan.

– https://www.themalaysianinsight.com

.