Pesawat Ke India Kecoh, Telefon Bimbit Samsung Berasap

SINGAPURA – Penumpang dan kru pesawat dalam penerbangan ke India cemas seketika apabila sebuah telefon bimbit jenis Samsung Galaxy Note 2 tiba-tiba berasap.

Dailymail melaporkan, telefon tersebut dibawa seorang penumpang ke dalam penerbangan IndiGo 6E-054 pada Jumaat.

Ketika kejadian, anak kapal mengambil telefon terbabit yang diletakkan di bahagian bagasi atas kepala dan menembak pemadam api ke arahnya.

“Beberapa penumpang yang menaiki pesawat 6E-054 dari Singapura ke Chennai terhidu bau asap dari ruang kabin dan segera memaklumkan kepada kakitangan kabin.
“Kru kabin mendapati asap itu datangnya dari telefon Samsung Note 2 yang diletakkan di dalam bagasi salah seorang penumpang yang disimpan di bahagian menyimpan barang,” menurut kenyataan syarikat penerbangan itu yang mengesahkan kejadian berkenaan.

Telefon tersebut kemudian direndam di dalam air, menurut kenyataan IndiGo.

Sementara itu, pihak Samsung menyedari kejadian tersebut dan berjanji akan menyiasat kejadian berkenaan dengan pihak berkuasa tempatan.

Sebelum ini, pihak Samsung memanggil sejuta unit Galaxy Note 7 selepas terdapat insiden berkenaan telefon bimbit berkenaan terutamanya bateri panas melampau. – Mstar

.