PESANAN TUN M UNTUK ANINA

SHAH ALAM – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad berharap Ahli Majlis Tertinggi parti, Anina Saadudin tidak patah semangat untuk meneruskan perjuangan parti.

Mahathir berkata, perjuangan parti sepatutnya perlu sentiasa menjadi keutamaan dan didahulukan melebihi perkara lain berkaitan parti.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai keputusan parti untuk tidak memberikan jawatan Ketua Srikandi Bersatu kepada Anina.

Anina sebaliknya hanya kekal dengan jawatan Ahli Majlis Tertinggi parti tersebut.

“Saya sendiri biasa dibuang daripada parti. Namun akhirnya saya juga yang jadi Perdana Menteri.

“Janganlah kerana sedikit dugaan yang berlaku kepada kita, kita begitu kecewa sehingga tidak mahu meneruskan perjuangan parti yang lebih utama,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Bersatu dalam kenyataan baru-baru ini menegaskan, parti itu masih belum menubuhkan sayap Srikandi.

Setiausahanya, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh berkata oleh itu, kedudukan Anina Saadudin yang dirujuk oleh pelbagai pihak sebagai Ketua Srikandi Bersatu tidak seharusnya timbul.

– SH

.