PESAN AZMIN: USAH TERLAMPAU DESAK PAS

Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menggesa parti dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak terlalu mendesak PAS dalam soal kerjasama dengan pembangkang.

Kenyataan menteri besar Selangor itu dilihat sedikit berbeza berbanding kebanyakan ucapan pemimpin HARAPAN dalam konvensyen pertama mereka hari ini.

Kata Azmin PKR akan teruskan bekerjasama dan berbincang dengan PAS atas prinsip tahaluf.

Setakat ini katanya kenyataan dan tindakan PAS termasuk daripada Mursyidul Am Hashim Jasin adalah sangat positif.

“Ia satu permulaan yang baik, tapi jangan mendesak sehingga melangkaui tahap itu,” katanya ketika ditemui pemberita di Konvensyen Pakatan Harapan di Shah Alam, hari ini.Selepas memutuskan hubungan dengan DAP dan menguburkan Pakatan Rakyat pada pertengahan 2015 walaupun tiada penguman rasmi mengenainya dibuat.

Penyingkiran sejumlah pemimpin daripada PAS melalui muktamar mereka di Kuala Selangor pula mencetuskan Parti Amanah Negara (AMANAH) yang kemudian membentuk HARAPAN sebagai gagasan baru pembangkang.

Bagaimanapun PAS bertegas enggan bekerjasama dengan beberapa parti walaupun tetap berhubung baik dengan PKR atau sekurang-kurangnya sebahagian daripada pimpinan parti itu.

Tunggu isyarat lanjut

 

Kata Azmin penting bagi HARAPAN bekerjasama dengan PAS bagi mengelakkan wujud pertembungan lebih daripada dua penjuru pada pilihan raya akan datang.

“Saya memainkan peranan (berunding dengan PAS) beberapa bulan kebelakangan ini. Tidak mudah bagi saya untuk yakinkan rakan dalam HARAPAN.

“Keadaan politik semasa memerlukan kita mengelakkan pertembungan tiga penjuru,” kata Azmin.

Beliau turut berkata pembangkang perlu menyelesaikan perbincangan tentang kerjasama mereka sekurang-sekurangnya enam bulan sebelum pilihan raya umum agar persiapan seperti jentera dan calon dapat dilakukan.

Beliau turut menyambut baik cadangan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad agar pembangkang menggunakan satu logo dan satu nama pada pilihan raya selepas ini.

Beberapa tabun lalu pembangkang pernah cuba mendaftarkan Pakatan Rakyat secara rasmi, namun permohonan mereka ditolak oleh Pendaftar Pertubuhan.

Sementara itu Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau tetap berharap pembangkang menjalin kerjasama dengan PAS dalam masa terdekat.

Katanya BERSATU mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan PAS serta sedang menunggu respon parti itu sekali gus menandatangani memorandum persefahaman.

“Kita telah adakan mesyuarat pertama dan sedang menunggu untuk isyarat kedua (untuk menentukan) bila kita boleh duduk bersama lagi.

“Selepas itu kita akan tandatangani MOU. Kita sedang tunggu respon,” kata Muhyiddin pada sidang media selepas Konvensyen Pakatan Harapan di Shah Alam hari ini.

MKINI

.