PERWAKILAN PUJI PUKULAN GOLF NAJIB ‘CUKUP SEMPURNA’

Perwakilan Umno Pulau Pinang Datuk Mohd Zaidi Said menyifatkan ketua menteri Pulau Mutiara Lim Guan Eng pandai berlakon ketika berdepan banjir besar baru-baru ini.

Zaidi berkata, gambar tangisan dan kesedihan Lim selepas meminta bantuan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi membantu mangsa banjir juga berjaya ditularkan dengan baik.

Katanya, menonton itu membuatkan muncul tanggapan seolah-olah Pulau Pinang sudah dilanda tsunami.

Bagaimanapun, kata Zaidi lagi, populariti video itu akhirnya tewas dengan video presiden Umno yang juga perdana menteri Datuk Seri Najib Razak bermain golf.

“Berjaya sungguh dia (Lim) melakukan adegan itu dengan penuh perasaan. Mata merah, hidung merah menangis sedih.

“Tapi video tular itu tidak lama. Saya ingat lepas tiga minggu video itu sudah kalah dengan video baru. Video baru telah kalahkan video Guan Eng ini.

“Video gaya yang amat berhormat presiden kita memukul bola golf. Ini video yang dapat permintaan yang tinggi.

“Saya tak tahu apa istimewanya.

“Tetapi video Datuk Seri (Najib) memukul bola golf benar-benar luar biasa,” kata Zaidi ketika membahas ucapan dasar presiden di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur semalam.

Zaidi juga berkata beliau juga bertanya kepada seorang pemimpin kanan Umno berkaitan video itu.

“Saya tanya Ismail Sabri, kenapa gaya Datuk Seri (Najib) begitu penuh perasaan. Dia kata itu pukulan yang cukup sempurna.

“Saya tanya lagi pada Datuk Mail. Saya kata, datuk tak main golf macam mana datuk tahu pukulan itu cukup sempurna.

“Dia kata Tan Sri Fatmi habaq kat saya. Kalau Tan Sri Fatmi habaq tu betullah, depa selalu main golf,” katanya dipercayai merujuk kepada seorang setiausaha Najib, Tan Sri Muhammad Fatmi Che Salleh.

– M’kini

.